Campuran beras import dan tempatan telah lama berlaku
KUALA LUMPUR – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mendedahkan bahawa campuran beras tempatan dengan beras import telah berlaku sejak tahun 1970-an lagi dan bukannya perkara baru di negara ini.
Beliau berkata, bahkan hasil daripada kajian yang dilakukan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sejak awal 2024 mendapati amalan itu dilakukan untuk menghasilkan variasi jenama di pasaran dan memenuhi cita rasa pengguna.
“Hasil kajian berkenaan sudah dibentangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara (JKKMN) Bilangan 2 2024 pada 17 Disember 2024.
“Susulan Mesyuarat JKKMN dan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 Disember 2024, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) diarahkan supaya memperhalusi kaedah dan mekanisme terbaik untuk mengawal percampuran berat putih tempatan (BPT) dan beras putih import (BPI) melalui perundangan.
“Serta merangka simulasi cadangan penetapan harga yang bersesuaian bagi kategori beras campuran secara komprehensif sebelum dikemukakan bagi pertimbangan Jemaah Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Sungai Besar (PN), Datuk Muslimin Yahaya yang mahu tahu ke mana hilangnya beras tempatan di pasaran negara.
Media sebelum ini melaporkan berlaku percampuran kira-kira 40 hingg 50 peratus BPI dengan BPT berdasarkan sampel yang dianalisis Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
Mengulas lanjut katanya, berdasarkan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) dan perundangan subsidiari di bawahnya, tiada peruntukan yang khusus yang jelas bagi kesalahan mencampurkan beras.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







