Pengeluaran padi negara menurun 4.7 peratus pada 2023
PUTRAJAYA – Pengeluaran padi negara menurun 4.7 peratus iaitu daripada 2,281,736 tan metrik pada tahun 2022 kepada 2,175,097 tan metrik pada tahun 2023.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, keadaan itu turut menyebabkan pengeluaran beras negara turun sebanyak 4.6 peratus bagi tempoh sama.
Katanya, pengeluaran beras pada 2023 adalah sejumlah 1,503,151 tan metrik berbanding 1,574,956 tan metrik pada tahun 2022.
“Pengurangan ini adalah disebabkan oleh pelbagai faktor dalaman dan luaran yang mempengaruhi produktiviti padi dan beras negara,” kata kenyataan itu, hari ini.
Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dilaporkan sebagai berkata, KPKM telah memperkenalkan asas pengiraan baharu Kadar Sara Diri (SSR) dan Penggunaan Per Kapitan (PCC) beras mulai tahun ini.
Langkah ini adalah selaras dengan piawaian yang ditetapkan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanjan (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pengiraan itu merujuk kepada dokumen yang dikeluarkan FAO iaitu Food Balance Sheets – A Handbook, 2001 dan Guidelines for the Compilation of Food Balance Sheet, 2017 dalam menentukan konsep serta definisi yang diguna pakai di dalam pengiraan SSR dan PCC beras oleh KPKM.
Menerusi kaedah baharu tersebut, pihak KPKM melaraskan asas pengiraan pengeluaran padi pada tahun 2023 dengan mengambil kira jumlah padi bersih yang akan diproses kepada beras sahaja.
Pengiraan berkenaan tidak termasuk jumlah pengeluaran padi yang dikhususkan untuk tujuan benih pada tahun yang sama.
Mengulas lanjut, KPKM menyatakan, kaedah terbabit turut mengekalkan kadar faktor penukaran padi kepada beras yang digunakan pada ketika ini mengikut zon.
Kadar di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, masing-masing pada 70 peratus, 63 peratus serta 60 peratus.
“KPKM turut memuktamadkan jumlah stok kecemasan beras bagi tahun 2023 dengan jumlah 240,233 tan metrik bagi stok dagangan dan 40,000 tan metrik bagi stokpail.
“Sehubungan itu, melalui pelarasan semula pengiraan SSR dan PCC beras pada tahun 2023, SSR beras adalah 56.2 peratus (kaedah baharu), manakala PCC beras pula adalah 76.7 kilogram/tahun (kaedah baharu),” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, KPKM berkata, pihaknya akan terus komited untuk melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kadar SSR beras antaranya melalui kerjasama pelbagai pihak berkepentingan termasuk dengan kerajaan negeri.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








