HIBURAN

Fattah Amin tegur netizen tinggalkan komen negatif ketika siaran langsung

KUALA LUMPUR – Pelakon Fattah Amin menasihatkan netizen supaya lebih berhemah ketika meninggalkan komen dalam sesi siaran langsung di media sosial, khususnya ketika beliau menggunakan platform tersebut untuk berniaga dan berinteraksi dengan peminat.

Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, 36, berkata, terdapat segelintir individu yang meninggalkan komen tidak wajar ketika beliau sedang mempromosikan produk secara langsung yang mana kebanyakannya menggunakan akaun palsu.

Menurutnya, ruang siaran langsung sepatutnya dimanfaatkan untuk urusan perniagaan serta berhubung dengan pelanggan dan peminat, bukannya menjadi tempat melontarkan kata-kata negatif.

“Baru-baru ini ketika saya sedang membuat siaran langsung untuk menjual produk dan mencari rezeki, tiba-tiba muncul komen tidak sepatutnya.

“Kebanyakannya datang daripada akaun palsu, jadi saya hanya menasihatkan mereka supaya memahami tujuan siaran langsung tersebut,” katanya kepada pemberita.

Pelakon drama Hero Seorang Cinderella itu berkata, teguran dibuat secara terbuka agar mesej tersebut difahami semua pihak, lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan.

“Saya bercakap secara terus supaya orang faham. Dalam bulan Ramadan sepatutnya kita menjaga kata-kata dan hanya menuturkan perkara baik.

“Ada masa kita perlu bercakap secara jelas kerana jika terlalu berkias, ada pula yang tidak memahami maksud sebenar,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Dalam masa sama, Fattah menegaskan, beliau hanya mampu menasihatkan kerana setiap individu bertanggungjawab atas perbuatan masing-masing.

Katanya, setiap kata-kata yang dilontarkan juga tidak terlepas daripada pengawasan Tuhan dan masyarakat perlu lebih berhati-hati ketika berkomunikasi di media sosial.

“Sebagai manusia biasa, kadang-kadang kami juga terasa dengan kata-kata orang, tetapi apa yang mampu dilakukan hanyalah bersabar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Program Raya Astro 2026 di sini, semalam.

Fattah turut memaklumkan beliau sering menasihati isterinya, penyanyi Amira Othman, supaya tidak terlalu memikirkan komen negatif daripada segelintir individu tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, selagi mereka melakukan perkara baik dan tidak membalas keburukan dengan perkara negatif, itu sudah memadai.

Terdahulu, Fattah dilihat menegur beberapa individu yang meninggalkan komen berunsur negatif ketika beliau dan Amira melakukan siaran langsung di media sosial.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button