JENAYAH & MAHKAMAH

Fathi Naim dilepas, bebas daripada pertuduhan rogol remaja

KUALA LUMPUR – Penceramah bebas, Muhammad Fathi Na’im Mazlam atau dikenali sebagai Fathi Naim dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini daripada pertuduhan merogol seorang remaja perempuan di sebuah hotel, lima tahun lalu.

Hakim Tasnim Abu Bakar membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Dalam penghakimannya, beliau berkata mahkamah mendapati keterangan mangsa yang dirujuk sebagai SP3 tidak boleh dikategorikan sebagai keterangan yang boleh dipercayai.

Menurut beliau, mahkamah turut membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk mencabar kredibiliti mangsa semasa pemeriksaan balas selepas mendapati terdapat percanggahan material dalam keterangannya.

“Mahkamah ini mendapati keterangan penjelasan SP3 semasa prosiding kes ini tidak dapat dikategorikan sebagai yang boleh dipercayai,” katanya ketika membacakan keputusan, memetik laporan Metro Online.

Susulan itu, mahkamah memerintahkan tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.

Mengikut pertuduhan, Fathi Naim didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun di sebuah bilik hotel di Jalan Imbi, Bukit Bintang antara pukul 2 pagi hingga 10 pagi pada 3 Disember 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376(1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Pervinah Mohd Yusoff manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Ashraff Mohd Diah, Aqmarul Aqil Ismail dan Azlinie Othman.

Bagaimanapun, Fathi Naim masih berdepan sembilan lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Klang membabitkan kesalahan rogol, amang seksual dan melakukan hubungan seks menggunakan objek terhadap mangsa sama antara Jun 2021 hingga Februari 2022.

Pada 18 September tahun lalu, dia dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan tiga sebatan selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan rogol dan amang seksual terhadap mangsa terbabit.

Namun, Mahkamah Tinggi kemudian membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu proses rayuan, manakala perbicaraan bagi enam lagi pertuduhan masih belum bermula.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button