FAM berdepan krisis kewangan lebih RM8 juta
KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berdepan tekanan kewangan serius apabila dianggarkan menanggung kerugian melebihi RM8 juta susulan hukuman Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Hukuman tersebut menyaksikan FAM dikenakan denda berjumlah RM1.8 juta, selain perlu menanggung kos guaman yang tinggi bagi mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Pengkritik sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, jumlah perbelanjaan yang telah dan bakal ditanggung FAM dianggarkan melebihi RM3 juta, melibatkan denda FIFA, yuran pemfailan kes serta kos khidmat guaman.
“Denda bernilai jutaan ringgit, penggantungan pemain, kejatuhan nilai pasaran serta risiko penurunan ranking Harimau Malaya memberi kesan besar kepada kestabilan kewangan FAM,” memetik BH online.
Sebelum ini, FIFA mengesahkan tujuh pemain terlibat iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Imanol Machuca, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Gabriel Palmero, masing-masing digantung daripada semua aktiviti bola sepak selama 12 bulan serta didenda RM10,200.
Pakar perundangan sukan pula memaklumkan bahawa proses rayuan di CAS sahaja boleh menelan kos melebihi RM1.2 juta, termasuk yuran pendaftaran, bayaran peguam dan kos keterangan pakar.
Impak kewangan turut dirasai pemain terlibat apabila nilai pasaran mereka menjunam, malah ada yang kehilangan kontrak. Kelab Unionistas de Salamanca dilaporkan telah menamatkan kontrak Palmero, manakala Machuca, Holgado dan Figueiredo berdepan risiko kehilangan pendapatan mencecah ratusan ribu ringgit.
Selain itu, FIFA turut membatalkan keputusan perlawanan antarabangsa melibatkan Harimau Malaya menentang Cape Verde, Singapura dan Palestin, dengan kesemua aksi tersebut direkodkan sebagai kekalahan 0-3.
Keputusan itu menyebabkan Malaysia jatuh lima anak tangga dalam ranking dunia ke kedudukan ke-121.
Mengulas lanjut, Pekan berkata kesan terhadap reputasi bola sepak negara adalah lebih membimbangkan berbanding kerugian kewangan.
“Imej Malaysia di peringkat antarabangsa terjejas dan mungkin mengambil masa panjang untuk dipulihkan.
“Penaja boleh menarik diri, sokongan peminat merosot dan keyakinan terhadap program naturalisasi juga boleh terhakis,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








