Empat lelaki termasuk remaja ditahan terlibat aksi ‘wheelie’ di Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR – Polis menahan empat individu termasuk dua remaja selepas dipercayai terlibat dalam aksi berbahaya ‘wheelie’ yang dirakam dan tular di media sosial di beberapa lokasi sekitar ibu negara semalam.
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan, tindakan itu diambil susulan dua video tular yang memaparkan beberapa penunggang motosikal melakukan aksi berbahaya di jalan raya awam.

Dalam kes pertama, video berdurasi 47 saat yang dimuat naik menerusi akaun Facebook jenterapejuang.my memaparkan dua motosikal jenis Honda EX5 dan Yamaha 135LC FI melakukan aksi ‘wheelie’ di sekitar Jalan Raja Laut, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan beberapa lokasi lain pada 6 Jun lalu antara pukul 2 hingga 2.30 pagi.
“Hasil risikan dan operasi yang dijalankan Unit Risikan dan Operasi JSPT Kuala Lumpur membawa kepada penahanan dua lelaki Melayu berusia antara 17 hingga 24 tahun serta seorang pembonceng lelaki berbangsa Cina berusia 17 tahun.
“Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya kepada pengguna jalan raya lain serta diri sendiri,” kata kenyataan tersebut.
Dalam kes kedua, polis menahan seorang lelaki Melayu berusia 18 tahun selepas dipercayai terlibat dalam aksi sama yang tular menerusi akaun Facebook UPDATE&INFO.
Video berdurasi 45 saat itu memaparkan penunggang motosikal Honda EX5 melakukan aksi ‘wheelie’ sebelum terjatuh di sekitar Jalan Ampang, Jalan Raja Laut dan beberapa lokasi lain di Kuala Lumpur.
Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara berbahaya.
JSPT Kuala Lumpur menegaskan pihaknya akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan samseng jalanan termasuk aksi ‘wheelie’.
“Perbuatan tersebut bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







