Empat kru terakhir MV Berkat Tuah selamat tiba di tanah air
KUALA LUMPUR – Empat kru terakhir warga Malaysia yang terkandas di atas kapal sokongan luar pesisir MV Berkat Tuah di Pelabuhan Hamriyah, Dubai, selamat pulang ke tanah air hari ini selepas hampir sembilan bulan berdepan situasi sukar.
Jurucakap Kementerian Luar berkata, kesemua mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 9 pagi tadi.
Menurutnya, kru berkenaan dibenarkan meninggalkan kapal pada 18 Julai lalu hasil rundingan berterusan Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai bersama pihak berkuasa Sharjah dan Jabatan Laut Malaysia.
“Sepanjang tempoh mereka terkandas, Konsulat Jeneral Malaysia telah mengadakan beberapa lawatan konsular bagi memastikan kebajikan dan keselamatan mereka sentiasa terpelihara sebelum urusan kepulangan ke Malaysia diselesaikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kementerian Luar turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) atas kerjasama dan bantuan yang diberikan dalam memudahkan proses membawa pulang kru MV Berkat Tuah dengan selamat.
Menurut kenyataan itu, kementerian melalui perwakilan diplomatik Malaysia di luar negara akan terus komited memastikan kebajikan dan keselamatan rakyat Malaysia di luar negara sentiasa diberi keutamaan.
Sebelum ini, MV Berkat Tuah dilaporkan terkandas di Pelabuhan Hamriyah sejak Oktober tahun lalu susulan pertikaian komersial yang rumit serta krisis kewangan melibatkan sebuah syarikat berpangkalan di Singapura yang menahan kapal berkenaan.
Keadaan itu menyebabkan syarikat pengendali kapal mengalami masalah kewangan sehingga gagal membayar gaji kru serta menyediakan kos membawa mereka pulang ke Malaysia.
Pada April lalu, empat lagi kru warga Malaysia yang turut terkandas di atas kapal sama telah berjaya dibawa pulang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















