
Empat kematian akibat demam denggi direkodkan pada Minggu Epidemiologi ke-35
PUTRAJAYA – Sebanyak empat kematian direkodkan akibat komplikasi demam denggi pada Minggu Epidemiologi ke-35 tahun 2024 iaitu bagi tempoh 25 hingga 31 Ogos lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, ia menjadikan kes kematian akibat demam denggi mencecah 88 berbanding 57 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2023.
“Pada Minggu Epidemiologi ke-35 tahun 2024, jumlah kes demam denggi yang dilaporkan adalah sebanyak 1,765 kes berbanding 1,980 kes pada minggu sebelumnya.
“Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga Minggu Epidemiologi ke-35 adalah sebanyak 96,572 kes berbanding 80,201 kes bagi tempoh sama tahun 2023,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mengulas mengenai bilangan lokaliti hotspot pada minggu yang sama, sebanyak 64 lokaliti dikesan berbanding 85 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.
“Dari 64 lokaliti yang dilaporkan, 45 lokaliti di Selangor, tujuh di Kuala Lumpur dan Putrajaya, tiga di Negeri Sembilan, Kelantan dan Perak. Bagi Kedah, Sabah dan Sarawak masing-masing mencatat satu lokaliti,” katanya.
Tambahnya, bagi survelan chikungunya, terdapat dua kes direkodkan pada Minggu Epidemiologi ke-35 menjadikan jumlah kumulatif kes chikungunya kini adalah 70 kes dengan tiada wabak dilaporkan pada minggu yang sama.
Sementara itu, bagi survelan zika, sebanyak 1,834 sampel darah, lapan, sampel urin dan tiga sampel cairan serebrospinal telah dijalankan saringan zika dan keputusan adalah negatif.
Dr. Muhammad Radzi berkata, risiko penyebaran demam denggi akan meningkat terutama semasa cuti sekolah dan juga semasa cuti umum disebabkan oleh pergerakan orang ramai.
Justeru itu, katanya, semasa cuti penggal kedua persekolahan yang akan datang Kementerian Kesihatan (KKM) ingin mengingatkan masyarakat termasuk pihak sekolah dan kontraktor yang dilantik agar sentiasa memastikan tiada bekas-bekas yang bolen menakung air di persekitaran premis yang berpotensi meniadi tempat pembiakan nyamuk Aedes sebelum bercuti.
“Rancanglah perjalanan anda dengan mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi mengurangkan risiko jangkitan demam denggi,” ujarnya.
Informasi berkaitan penyakit demam denggi serta lokasi wabak dan hotspots boleh dilayari melalui laman sesawang iDengue (https://idengue.mysa.gov.my/).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








