Empat bersaudara parah, motosikal langgar kereta cikgu
MACHANG – Empat bersaudara cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta dipandu seorang guru di Kilometer 51.4, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai berhampiran Kampung Pek, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 7 pagi itu, penunggang motosikal, Muhammad Muskir Rosli, 14, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Intan bersama tiga pembonceng lain masing-masing berusia antara tujuh hingga 12 tahun mengalami kecederaan serius.
Tiga pembonceng ialah Mas Siti Rosnani Rosli, 7, Muhamad Hakikat Abdul Rahman, 9, dan Muhammad Zulhaqif Muhamad Zulkifli, 12, yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan Kampung Pek.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Azuhar Md Nor berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah Honda Jazz dipandu seorang guru wanita berusia 39 tahun dari arah Machang menghala ke Kuala Krai bertembung dengan sebuah motosikal Honda C100 dari arah bertentangan.
Menurut beliau, sebaik tiba di lokasi berhampiran sekolah, motosikal ditunggang remaja lelaki itu dipercayai membelok ke kanan secara tiba-tiba untuk memasuki simpang.
“Akibat tindakan itu, motosikal berkenaan melanggar bahagian hadapan sebelah kanan Honda Jazz yang ketika itu berada di laluan sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemandu Honda Jazz dan penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Bagaimanapun, penunggang motosikal dan tiga pembonceng mengalami kecederaan parah sebelum dihantar ke Hospital Machang untuk rawatan lanjut,” katanya.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang di talian 09-9751222 bagi membantu siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








