Eco Lifestyle Med Health kembali ke Malaysia, pacu budaya hidup aktif
KUALA LUMPUR – Selepas lebih sedekad bertapak di ibu negara sebagai hab gudang dan pengedaran serantau, Eco Lifestyle Med Health kini kembali ke Malaysia sebagai penyedia penuh kelengkapan kecergasan dan kesihatan.
Pelancaran semula syarikat itu disempurnakan di bilik pameran dan pejabat baharunya di Wisma Hong Leong, di sini oleh Pengerusinya yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan serta Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli serta Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Eco Lifestyle Group, Tan Hai Yong.
Khairy dalam ucapannya menekankan bahawa cabaran sebenar rakyat Malaysia bukan soal kesedaran, sebaliknya mengekalkan konsistensi aktiviti kecergasan.
“Ramai sudah memiliki treadmill atau basikal senaman, tetapi hakikatnya ia hanya menjadi hiasan berhabuk. Kuncinya adalah menjadikan senaman menyeronokkan, bersosial dan memberi ganjaran supaya tabiat ini berterusan.
“Saya percaya kepada ‘walking the talk’ dan berharap lebih ramai rakyat Malaysia menjadikan gaya hidup sihat sebagai budaya harian,” katanya.

Sementara itu, Hai Yong menyifatkan pelancaran semula Eco Lifestyle Med Health sebagai satu detik nostalgik selepas bermula lebih 10 tahun lalu di Malaysia sebagai hab logistik.
“Ini bukan sekadar langkah perniagaan, tetapi tanda rakyat Malaysia bersedia untuk fasa baharu dalam kecergasan.
“Pendekatan kami melangkaui penjualan mesin, sebaliknya membina ekosistem lengkap dengan teknologi, gamification dan latihan profesional supaya senaman kekal konsisten serta menyeronokkan,” jelasnya.
Menurut beliau, model tersebut sudah berjaya di Singapura dan Hong Kong, sekali gus membuktikan Malaysia yang kaya dengan budaya senaman berkomuniti adalah lokasi ideal.

Mengulas lanjut, Hai Yong berkata Malaysia mempunyai profil demografi yang ideal dengan populasi muda, kelas menengah dan kesedaran kesihatan yang semakin meningkat.
“Dengan menggabungkan pengalaman antarabangsa serta budaya tempatan, Eco Lifestyle Med Health yakin mampu menjadi pemangkin ke arah masyarakat yang lebih sihat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








