BERITA SEMASA

Suara penduduk jadi teras perkukuh tadbir urus Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Pandangan dan maklum balas persatuan penduduk perlu dijadikan asas penting dalam memperkukuhkan tadbir urus bandar raya Kuala Lumpur bagi memastikan manfaat kepada rakyat.

Pertemuan bersama Save Kuala Lumpur (Save KL) dan Persatuan Kebajikan Kelestarian Komuniti Kuala Lumpur (KLRA+SD)
Pertemuan bersama Save Kuala Lumpur (Save KL) dan Persatuan Kebajikan Kelestarian Komuniti Kuala Lumpur (KLRA+SD)

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, pendekatan mentadbir bersama rakyat akan terus diperkasakan menerusi libat urus bermakna melibatkan komuniti setempat dan pihak berkepentingan.

“Pertemuan bersama Save Kuala Lumpur (Save KL) dan Persatuan Kebajikan Kelestarian Komuniti Kuala Lumpur (KLRA+SD) yang mewakili lebih 80 Persatuan Penduduk dari seluruh ibu negara menjadi platform penting untuk mendengar suara akar umbi berkaitan usaha meningkatkan kualiti hidup penduduk.

“Pandangan yang dikemukakan oleh persatuan penduduk merupakan input penting dalam membentuk keputusan serta hala tuju tadbir urus bandar.

“Semua maklum balas akan diteliti dengan cermat sebelum sebarang tindakan diambil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hannah berkata, antara fokus utama perbincangan ialah isu mitigasi banjir, termasuk keperluan melindungi dan memelihara kolam takungan yang memainkan peranan penting dalam pengurusan banjir di Kuala Lumpur.

Beliau turut berkata, keutamaan untuk memperkukuhkan langkah pencegahan banjir secara lebih menyeluruh di samping memastikan amalan tadbir urus yang baik dilaksanakan secara konsisten.

Selain itu, Hannah menjemput golongan profesional dan pakar dalam kalangan persatuan penduduk untuk bersama-sama menyumbang pandangan dan kepakaran bagi menyokong perancangan serta pelaksanaan dasar yang lebih berkesan.

“Input yang diterima akan dijadikan panduan dalam menetapkan keutamaan tadbir urus bandar pada masa hadapan, selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI dalam membangunkan Kuala Lumpur berteraskan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button