JENAYAH & MAHKAMAH

Dua lelaki jadi keldai akaun sindiket penipuan didakwa

JOHOR BAHRU – Dua lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjadi keldai akaun kepada sindiket pelaburan dan penipuan pekerjaan yang menyebabkan kerugian keseluruhan RM11,200.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh iaitu Muhammad Firdaus Abd. Halil, 22, dan Tan Bing Chong, 41, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohd. Zamir Suhaimee.

Muhammad Firdaus yang bekerja sebagai juruelektrik didakwa telah memindahkan wang milik seorang wanita berjumlah RM1,200 ke dalam akaun bank miliknya secara tidak jujur di Jalan Dedap 4, Taman Johor Jaya di sini pada 9 Januari lalu.

Sementara itu, Bing Chong yang merupakan seorang nelayan didakwa melakukan perbuatan sama melibatkan wang berjumlah RM10,000 milik seorang lelaki di Jalan Sutera Pulai, Taman Johor Jaya pada 15 Disember tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Mamu dan R. Nevina, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Jun ini untuk sebutan semula kes.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button