Polis percaya lelaki Malaysia ditahan di Sri Lanka jadi keldai dadah sindiket antarabangsa
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) percaya seorang lelaki warga tempatan berusia 23 tahun yang ditahan di Sri Lanka kerana disyaki cuba menyeludup kokain bernilai 90.8 juta rupee Sri Lanka (RM1.1 juta) bertindak bagi pihak sindiket pengedaran dadah antarabangsa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima maklumat rasmi daripada Biro Narkotik Polis Sri Lanka berhubung penahanan lelaki berasal dari Selangor itu.
“Siasatan awal mendapati suspek menaiki penerbangan bersendirian dari sebuah negara Arab ke Sri Lanka bagi menyeludup dadah berkenaan.
“Namun, JSJN percaya dia tidak bertindak secara bersendirian dan mempunyai kaitan dengan sindiket dadah antarabangsa,” katanya memetik laporan NST Online.
Menurut beliau, semakan turut mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau di Malaysia.
Beliau berkata, hasil siasatan awal menunjukkan lelaki itu dipercayai direkrut oleh sindiket sebagai keldai dadah bagi membawa bahan terlarang tersebut ke destinasi yang ditetapkan.
“Berdasarkan maklumat yang diterima daripada Biro Narkotik Sri Lanka, suspek dipercayai menyembunyikan kokain itu di dalam beg galas dengan memasukkannya ke dalam tin makanan.
“Modus operandi seperti ini sering digunakan oleh sindiket untuk memperdaya keldai dadah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.
Media Sri Lanka sebelum ini melaporkan lelaki terbabit ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Bandaranaike, Katunayake pada Sabtu lalu selepas pegawai kastam menemui 1.816 kilogram kokain yang disembunyikan di dalam tiga tin makanan di dalam bagasinya.
Suspek dilaporkan tiba dari Dubai dengan menaiki pesawat Emirates penerbangan EK650 dan dipercayai bersetuju membawa dadah tersebut sebagai balasan bayaran sebanyak RM10,000.
Kes berkenaan kini disiasat oleh pihak berkuasa Sri Lanka mengikut undang-undang negara itu, manakala PDRM akan terus bekerjasama dengan agensi penguat kuasa negara berkenaan bagi membantu siasatan berkaitan rangkaian sindiket yang terlibat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















