BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Dua lelaki dikejutkan dengan kiriman kepala babi di depan premis

SEREMBAN – Dua individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pinjaman wang tidak berlesen terkejut apabila menemui kepala babi diletakkan di hadapan premis mereka dalam kejadian berasingan di Kuala Pilah dan Pekan Tampin, dekat sini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, hasil siasatan mendapati, kedua-kedua kejadian berlaku pada awal pagi semalam sekitar jam 1 pagi.

Menurutnya, motif kejadian disyaki berpunca daripada masalah peribadi antara mangsa dengan individu yang dipercayai pemberi pinjaman wang tidak berlesen.

“Berdasarkan siasatan setakat ini, kejadian itu bukan bermotifkan kebencian terhadap agama oleh mana-mana pihak, sebaliknya dipercayai bertujuan memberi tekanan kepada mangsa supaya melunaskan hutang kepada ah long,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek juga dipercayai individu sama yang pernah menyimbah cat di kedai milik mangsa sebelum ini.

Tambahnya, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan berkaitan ugutan jenayah.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pihak polis.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button