Dua beradik dicekup, jadikan rumah pusaka stor bunga ganja bernilai RM1.76 juta
KUALA TERENGGANU – Taktik dua beradik menjadikan rumah pusaka peninggalan ibu bapa mereka sebagai lokasi transit dan penyimpanan bunga ganja bernilai RM1.76 juta untuk pasaran antarabangsa berjaya dipatahkan selepas diserbu polis di Duyong Besar, di sini pada 14 Jun lalu.
Dalam operasi pada pukul 3.30 petang yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Terengganu, dua lelaki berusia 39 dan 50 tahun diberkas, manakala sebanyak 22 kilogram (kg) bunga ganja dirampas.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, serbuan pertama di rumah pusaka itu membawa kepada penemuan dadah yang dipercayai disimpan sementara sebelum diseludup ke pasaran antarabangsa.
Menurutnya, serbuan kedua dilakukan di hadapan sebuah rumah berhampiran membabitkan suspek kedua, namun pemeriksaan tidak menemui sebarang barang salah.
“Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek dipercayai berperanan sebagai penjaga stor bagi satu sindiket pengedaran dadah yang aktif sejak Mac lalu.
“Rumah berkenaan dipercayai dijadikan lokasi transit untuk menyimpan bekalan bunga ganja yang diseludup masuk melalui laluan laut sebelum dihantar ke pasaran antarabangsa,” katanya memetik laporan Metro Online.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati bunga ganja tersebut dipercayai akan diproses menjadi cecair untuk digunakan dalam rokok elektronik atau vape.
Katanya, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah.
“Siasatan turut mendapati suspek berusia 39 tahun tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala abangnya yang berusia 50 tahun mempunyai 13 rekod kesalahan berkaitan dadah mengikut Seksyen 39A(2), Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Menurut beliau, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 15 hingga 21 Jun sebelum tempoh reman disambung tujuh hari lagi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam perkembangan sama, polis turut mengambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 dengan menyita pelbagai aset bernilai RM149,000.
Antara harta yang disita ialah sebuah kereta Hyundai, tiga motosikal iaitu BMW R100, Yamaha NVX dan Yamaha 135LC serta wang tunai RM6,000.
“Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta adalah RM1.909 juta,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








