Dua anggota tentera dituduh sebabkan kematian rakan sepasukan
KUCHING – Dua anggota tentera dihadapkan ke Mahkamah Majistret Miri hari ini, atas pertuduhan menyebabkan kematian rakan sepasukan mereka, 24 Mac lalu.
Tertuduh, Muhammad Afiq Syarim, 23, dari Bedong, Kedah dan Mohamad Faies Khuzaimah, 21, dari Tumpat, Kelantan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama kerana menyebabkan kematian Muhammad Muqriz Aseri, 21, lapor BH Online.
Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama menyebabkan kematian Muhammad Muqriz antara jam 2.15 pagi hingga 3.05 pagi, 24 Mac lalu.
Mereka melakukan kesalahan itu di sebuah bilik di Blok Kediaman Bujang LLP, Kompeni Alpa, Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD) Kem Sri Miri.
Kedua-dua tertuduh yang memakai pakaian sukan hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Ashok Linggam.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya, Franklin Ganggan Bennet kemudian memohon ditetapkan tarikh untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat mangsa dan laporan kimia.
Ashok membenarkan permohonan itu dan menetapkan 30 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Kedua-dua tertuduh kemudian diperintahkan menjalani tahanan lanjut mengikut Seksyen 259 Kanun Prosedur Jenayah sementara menunggu tarikh itu.
Tertuduh kedua diwakili peguam Ranbir Singh manakala tertuduh pertama tidak diwakili peguam.
Laporan media sebelum ini menyebut, Allahyarham Muqriz meninggal dunia di Hospital Miri setelah dikatakan pitam selepas diarahkan melakukan aktiviti lasak sebelum bersahur.
Bedah siasat mendapati, punca kematian Allahyarham disahkan akibat trauma tumpul pada dada yang merujuk kepada hentakan kuat pada bahagian dada yang menyebabkan kerosakan pada jantung.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








