BERITA SEMASA

Dr Mahathir tunjuk perkembangan memberangsangkan selepas 14 hari dirawat

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini berada dalam pemantauan rapi pihak perubatan telah menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan selepas 14 hari dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN).

Menurut Pejabat Dr Mahathir,
sehingga kini beliau masih menjalani rawatan serta sesi fisioterapi tanpa sebarang pembedahan.

“Pihak perubatan dan doktor pakar yang merawat memaklumkan bahawa mereka berpuas hati dengan tahap kemajuan proses pemulihan yang ditunjukkan selepas 14 hari beliau menerima rawatan di IJN.

“Walau bagaimanapun, proses pemulihan melalui fisioterapi dijangka mengambil masa yang agak panjang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 6 Januari lalu, Dr Mahathir telah mengalami patah tulang pinggul kanan akibat terjatuh di kediamannya di The Mines.

Susulan itu, beliau telah dikejarkan ke IJN dan menerima rawatan di pusat perubatan itu hingga sekarang.

Dalam kenyataan sama, Dr Mahathir dan keluarga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta ucapan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa mengambil berat, bertanyakan khabar serta mendoakan agar beliau segera pulih.

“Keluarga Dr Mahathir turut memohon maaf kepada orang ramai kerana atas nasihat pakar perubatan, urusan ziarah buat masa ini dihadkan hanya kepada ahli keluarga terdekat sahaja,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button