Letih hadiri program, Tun M mohon maaf kembali ‘bekerja’ selepas terima rawatan
PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kembali menjalankan rutin hariannya selepas menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) akibat keletihan ketika menghadiri program ‘Picnic & Potluck’, semalam.
Menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di akaun media sosial beliau, Dr Mahathir, 100, memohon maaf kepada orang ramai kerana tidak dapat bersama sehingga akhir acara yang berlangsung di Yayasan Kepimpinan Perdana.
“Saya mohon maaf kerana semalam saya tak dapat bersama waktu kita ada ‘picnic’ yang mana ramai orang yang hadir… tetapi oleh kerana saya rasa terlalu letih dan terpaksa berehat.
“Doktor suruh pergi hospital, saya pergilah hospital tapi sekejap sahaja di hospital. Sekarang ini selepas dirawat dengan doktor dan saya boleh teruskan cara hidup saya, iaitu bekerja,” katanya dalam rakaman berkenaan.
Menerusi video tersebut, Dr Mahathir dilihat berada dalam keadaan baik dalam video tersebut, malah turut membuat tinjauan di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Terdahulu, media melaporkan Dr Mahathir terpaksa meninggalkan program berkenaan lebih awal selepas mengalami keletihan.
Acara ‘Picnic & Potluck’ itu diadakan bersempena sambutan ulang tahun kelahiran beliau yang ke-100 pada 10 Julai lalu, serta ulang tahun ke-99 isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, pada 12 Julai.
Susulan keadaan kesihatannya, beliau dimasukkan ke IJN sebelum dibenarkan keluar sekitar pukul 5.00 petang, semalam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















