Diskaun tol 50 peratus sempena Aidilfitri, Kerajaan MADANI bantu ringankan beban rakyat
KUALA LUMPUR – Kerajaan MADANI terus mengambil langkah proaktif bagi meringankan beban rakyat menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, susulan ketidaktentuan ekonomi global yang masih berlarutan.
Sebagai inisiatif utama, Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju memberikan diskaun tol sebanyak 50 peratus sempena Aidilfitri, yang akan berkuat kuasa mulai pukul 12.01 tengah malam 18 Mac hingga 11.59 malam 19 Mac 2026.
Langkah tersebut melibatkan kos pampasan kira-kira RM21.03 juta kepada syarikat konsesi lebuh raya dan hanya terpakai kepada kenderaan persendirian Kelas 1 di semua lebuh raya, kecuali di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya LINKEDUA.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, pelbagai lagi inisiatif turut dilaksanakan bagi memastikan persediaan rakyat menyambut Aidilfitri berjalan lancar, selain membantu mengawal kos sara hidup.
Menurut beliau, rakyat juga digalakkan berbelanja secara berhemah sepanjang musim perayaan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi pada masa hadapan.
“Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada seluruh rakyat Malaysia. Semoga Aidilfitri disambut dalam suasana aman dan penuh kesyukuran bersama keluarga serta insan tersayang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan antara langkah lain termasuk pemberian cuti tambahan sempena Aidilfitri, pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan dari 14 hingga 28 Mac 2026 serta bayaran awal Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 yang memanfaatkan kira-kira 5.2 juta penerima.
Selain itu, kerajaan turut menyalurkan Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam, pesara, veteran, imam, bilal, tok siak, noja, marbut, guru KAFA dan takmir, di samping melaksanakan pelepasan kebankrapan secara ‘Fast Track’ kepada sekitar 4,000 individu.
“Kerajaan juga memperluas subsidi tiket penerbangan FLYsiswa bernilai RM400 kepada pelajar institusi pengajian tinggi, melaksanakan hampir 1,900 Program Jualan Rahmah MADANI sepanjang Ramadan serta melarang penjualan minyak masak paket bersubsidi kepada warga asing bagi memastikan manfaat subsidi dinikmati rakyat tempatan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








