LUAR NEGARA

Indonesia mahu tol di Selat Melaka, Singapura tidak setuju

JAKARTA – Singapura menzahirkan pendirian tegas menolak cadangan Indonesia untuk mengenakan cukai terhadap kapal dagang yang melalui Selat Melaka, dengan menegaskan laluan maritim itu perlu kekal bebas tanpa sebarang bayaran atau sekatan.

Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan berkata, negaranya tidak akan menyokong sebarang usaha untuk menutup, mengganggu atau mengenakan tol di perairan strategik berkenaan.

Cadangan tersebut sebelum ini dibangkitkan Menteri Kewangan Indonesia, Purbaya Yudhi Sadewa sebagai langkah menjadikan laluan perkapalan paling sibuk dunia itu sumber baharu hasil negara.

Menurut Purbaya, usaha itu selari dengan agenda Presiden Prabowo Subianto bagi memperkukuh peranan Indonesia dalam perdagangan global.

Berucap pada satu simposium di Jakarta, Purbaya menegaskan kedudukan strategik Indonesia di laluan perdagangan dan tenaga dunia seharusnya memberi pulangan ekonomi lebih besar termasuk melalui mekanisme cukai transit.

“Ketika ini kapal yang melalui Selat Melaka tidak dikenakan sebarang bayaran walaupun laluan itu amat penting kepada perdagangan global,” katanya.

Selat Melaka yang dikongsi Malaysia, Indonesia dan Singapura merupakan arteri utama yang menghubungkan Lautan Hindi dan Pasifik, selain sering dibandingkan dengan laluan strategik lain seperti Selat Hormuz dan Terusan Suez.

Menurut Purbaya, sebarang pelaksanaan cukai memerlukan penyelarasan dengan negara jiran memandangkan laluan itu dikongsi bersama, walaupun Indonesia mempunyai bahagian geografi terbesar.

Beliau turut merujuk cadangan antarabangsa termasuk melibatkan Iran untuk mengenakan tol di Selat Hormuz sebagai model yang boleh dipertimbangkan.

Indonesia baru-baru ini sedang menimbang untuk mengenakan cukai ke atas kapal dagang yang melalui Selat Melaka sebagai usaha menjadikan laluan perkapalan tersibuk dunia itu sumber baharu pendapatan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button