Dengar rintihan rakyat, PM umum akan naikkan SARA
SEREMBAN – Kerajaan akan menaikkan kadar Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dalam masa terdekat selepas mengambil kira rintihan rakyat yang masih berdepan tekanan kos sara hidup, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat meskipun kerajaan telah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA, namun mengakui masih ramai yang memerlukan sokongan tambahan.
“Walaupun kita beri STR, SARA, malah (di Negeri Sembilan) Datuk Seri Aminuddin Harun turut memberikan bonus tinggi kepada penjawat awam, adakah semua masalah selesai? Belum.
“Kerana itu, kita dengar rintihan rakyat dan insya-Allah dalam masa terdekat, kita akan naikkan lagi SARA untuk rakyat semua,” katanya ketika berucap pada Ceramah Jelajah Kekal Harapan di Senawang malam tadi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang akan berlangsung pada 1 Ogos.
Anwar berkata, kerajaan sentiasa menilai keperluan rakyat dan berusaha memastikan bantuan yang disalurkan benar-benar memberi kelegaan kepada golongan yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.
Ketika ini, kadar sumbangan SARA bagi isi rumah miskin dan miskin tegar berjumlah RM200 sebulan atau RM2,400 setahun, manakala isi rumah bukan miskin dan miskin tegar menerima RM100 sebulan atau RM1,200 setahun. Bagi kategori warga emas tiada pasangan dan bujang, kadar bantuan adalah antara RM50 hingga RM150 sebulan mengikut kelayakan penerima.
Sebelum ini, beliau memaklumkan Kerajaan MADANI akan terus memperhalusi kemungkinan meningkatkan kadar bantuan kepada rakyat, termasuk STR dan SARA, sekiranya kedudukan ekonomi negara terus mengukuh.
Menurut beliau, cadangan berkenaan telah dibincangkan bersama Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican dan akan dipertimbangkan dalam pembentangan Belanjawan 2027.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















