BERITA SEMASA

DBKL rasmi Plak SDG KL, perkukuh komitmen terhadap pembangunan mampan

KUALA LUMPUR — Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terus memperkukuh komitmen terhadap agenda kelestarian global dengan merasmikan Plak Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals – SDG) KL di Menara DBKL 1, di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif sebagai simbolik kepada usaha berterusan DBKL dalam mendukung pembangunan inklusif dan seimbang merangkumi aspek sosial, ekonomi dan alam sekitar.

“Plak ini bukan sekadar simbol, sebaliknya satu galakan dan jemputan kepada semua pihak termasuk komuniti, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan untuk bersama menyumbang ke arah bandar raya yang lebih mampan,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

SDG merupakan rangka kerja pembangunan global yang digariskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak 2015.

Sejak 2013, DBKL telah melaksanakan pelbagai inisiatif berkaitan pembangunan mampan seperti program KL Car Free Morning, laluan basikal khas, penerbitan KL SDG Roadmap, penubuhan Pusat SDG KL, pelaksanaan Voluntary Local Review (VLR), serta pembangunan SDG Digital Twin.

Plak SDG KL yang dilancarkan itu mengandungi tiga komponen utama seperti pengenalan kepada prinsip dan objektif SDG, paparan logo kesemua 17 matlamat dengan penekanan kepada fungsi bangunan berkenaan, serta kod QR yang memaut ke laman sesawang rasmi bagi maklumat lanjut mengenai amalan mampan bangunan tersebut.

Tambahnya, inisiatif ini turut disepadukan dengan sistem SDG Digital Twin menerusi pendekatan Share Initiative sebagai usaha memperluas hebahan dan promosi kepada semua pihak berkepentingan.

Sehingga Mei 2025, sebanyak 21 Plak SDG KL telah dipasang di pelbagai lokasi termasuk Pustaka Kuala Lumpur, Saloma Link, Institut DBKL dan Menara Penguatkuasa DBKL.

Inisiatif berkenaan juga disarankan untuk diperluas penggunaannya oleh sektor korporat dan institusi lain kerana mampu merangsang gaya hidup lestari, meningkatkan kesedaran isu global, serta menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan sosial yang adil dan mampan.

Majlis hari ini juga menyokong kedudukan Kuala Lumpur sebagai Tuan Rumah Bandar ASEAN 2025 di bawah tema “Keterangkuman dan Mampan”, selain menjadi sebahagian daripada penyediaan VLR kedua yang dijangka dihantar kepada PBB bagi pelaporan tahun 2026.

DBKL optimis bahawa kombinasi dasar strategik dan penglibatan menyeluruh warga kota akan merealisasikan cita-cita menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya masa depan yang inklusif, hijau dan berdaya tahan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button