BERITA SEMASA

Dari banduan ke penghafaz al-Quran: Penjara Penor jadi titik perubahan hidup

KUANTAN – Hukuman penjara selama 18 tahun yang dijalani seorang banduan di Penjara Penor menjadi titik perubahan dalam hidupnya apabila kesempatan itu dimanfaatkan untuk mempelajari serta menghafaz al-Quran.

Banduan berusia 39 tahun yang hanya dikenali sebagai Amir (bukan nama sebenar) berkata, sebelum dipenjarakan dia pernah terdetik untuk belajar membaca al-Quran, namun hasrat itu tidak pernah menjadi kenyataan.

Menurutnya, keinginan tersebut akhirnya tercapai selepas dia menjalani hukuman di penjara itu kira-kira enam tahun lalu.

“Saya mula mengenal al-Quran ketika berada dalam tahanan reman di Penjara Penor.

“Rakan satu sel menjadi guru pertama yang mengajar saya membaca al-Quran setiap hari tanpa jemu,” katanya memetik laporan Metro Online.

Amir yang disabitkan kesalahan merogol dan dijatuhi hukuman 18 tahun penjara serta enam sebatan kini antara 10 banduan yang mengikuti pengajian sepenuh masa di Sekolah Tahfiz Baitul Hikmah Penjara Penor.

Katanya, minat mendalam terhadap al-Quran membolehkan beliau menguasai bacaan dalam tempoh beberapa bulan sahaja.

Selepas selesai menjalani hukuman sebatan pada 2020, beliau diterima menyertai program pengajian sepenuh masa di sekolah tahfiz berkenaan di bawah bimbingan Ustaz Mohd Norhidayat Abu Bakar.

“Alhamdulillah selepas lima tahun belajar, saya kini mampu menghafaz 16 juzuk al-Quran.

“Kejayaan ini adalah anugerah Allah SWT walaupun saya pernah melakukan dosa besar hingga akhirnya dipenjara.

“Saya berdoa agar diberikan kekuatan untuk terus menghafaz al-Quran dan berharap sebelum dibebaskan pada 2030 nanti lebih banyak ayat al-Quran dapat saya hafaz,” katanya ketika ditemui pada Program Hafazan al-Quran Banduan Penjara Penor.

Amir yang berasal dari Maran berkata, sebelum dipenjarakan dia bekerja sebagai mekanik serta pernah menjadi pemandu lori.

Bagaimanapun, kesalahan yang dilakukan menyebabkan rumah tangganya musnah dan tiga anaknya kini berada di bawah jagaan bekas isterinya di kampung.

“Saya bersyukur kerana daripada seorang yang tidak pandai membaca al-Quran, kini Allah SWT memberi peluang kepada saya untuk membaca dan menghafaz kitab suci itu selepas lima tahun berusaha.

“Jika tidak kerana kesalahan yang dilakukan, mungkin saya terus buta dengan Kalam Allah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Penjara Penor, Penguasa Penjara Mohamad Hasnor Abd Hamid berkata, pelajar di Sekolah Tahfiz Baitul Hikmah Penjara Penor sentiasa terlibat dalam setiap program keagamaan yang dianjurkan di penjara berkenaan.

Menurutnya, selain membaca al-Quran, mereka juga menyertai aktiviti seperti persembahan nasyid dan berzanji.

“Kita akan terus berusaha melahirkan lebih ramai banduan yang celik agama sebagai usaha membantu mereka berubah dan tidak mengulangi kesalahan selepas dibebaskan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button