BERITA SEMASAPOLITIK

Chang Lih Kang pertahan jawatan Naib Presiden PKR, sambut baik persaingan sihat dalam parti

PUTRAJAYA – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang mengesahkan beliau telah menyerahkan borang pencalonan bagi mempertahankan jawatan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan parti yang akan datang.

Menurut Lih Kang, proses penamaan calon telah diselesaikannya lewat malam tadi.

“Saya sudah selesai proses penamaan calon dalam parti saya. Saya akan pertahankan jawatan Naib Presiden.

“Saya hantar borang hampir tengah malam,” katanya ketika ditemui media selepas melancarkan Stesen Pengisian Hidrogen Mudah Alih (MHRS), di sini hari ini.

Mengulas mengenai persaingan yang dijangka sengit dalam pemilihan kali ini, Lih Kang menyifatkannya sebagai satu perkembangan positif dalam parti.

“Saya rasa ini satu perkembangan yang positif. Lagi ramai yang bertanding, lagi meriah. Ini menunjukkan ramai ahli berminat untuk melibatkan diri dalam kepimpinan parti dan ia sesuatu yang bagus,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan pencalonan anak Perdana Menteri, Nurul Izzah Anwar bagi jawatan Timbalan Presiden PKR.

“Saya mengalu-alukan semua yang bertanding. Kita meraikan semangat demokrasi dalam parti,” katanya ringkas.

Pemilihan parti PKR kali ini dilihat sebagai antara yang paling kompetitif dalam sejarahnya, dengan kehadiran beberapa nama besar yang ingin menawarkan pembaharuan dalam barisan kepimpinan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button