BERITA SEMASA

BUMITRA Malaysia pantau situasi semasa di Timur Tengah

KUALA LUMPUR – Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA Malaysia) terus memantau perkembangan semasa di Timur Tengah, khususnya di Arab Saudi, bagi memastikan keselamatan dan kebajikan jemaah Malaysia yang berada di Tanah Suci terpelihara.

Presidennya, Dr Wan Muhamad Adam Wan Norudin berkata, pemantauan dilakukan menerusi saluran rasmi Kedutaan Besar Malaysia (KBM) di Riyadh serta pihak berkuasa Arab Saudi.

“Agensi pelancongan ahli BUMITRA Malaysia yang beroperasi di Makkah dan Madinah turut bersiap siaga dengan menyediakan perancangan kontingensi bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“Selain itu kami, melalui pasukan operasi masing-masing di Malaysia, Mekah dan Madinah, sentiasa bersiap siaga dengan pelan kontingensi bagi memastikan keselamatan dan kebajikan para jemaah terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini

Beliau turut menasihatkan jemaah yang sedang mengerjakan ibadah umrah supaya bertenang, tidak panik dan sentiasa berhubung dengan agensi pengendali masing-masing.

“Berdasarkan maklumat yang diterima daripada jemaah yang sedang menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci, segala aktiviti ibadah dan perjalanan umrah dilaporkan berjalan seperti biasa,” tambahnya.

Sementara itu, rakyat Malaysia yang berada di Arab Saudi dan memerlukan bantuan boleh menghubungi talian kecemasan Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh menerusi nombor +966 56 300 6319 atau e-mel mwriyadh@kln.gov.my.

Dalam pada itu, orang ramai diingatkan supaya tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana tindakan berkenaan boleh menimbulkan kekeliruan serta kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Sebarang perubahan atau perkembangan terkini hendaklah dirujuk melalui saluran rasmi agensi pelancongan dan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan maklumat yang diterima tepat serta sahih.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button