AS siap sedia pindah kakitangan kedutaan, anggota keluarga tentera dari Timur Tengah
WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) sedang bersiap sedia untuk memindahkan sebahagian kakitangan dari kedutaannya di Iraq dan keluarga anggota tenteranya dari beberapa lokasi di Timur Tengah, termasuk Bahrain, Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Langkah ini susulan peningkatan kebimbangan terhadap situasi keselamatan di rantau berkenaan, lapor Al-Jazeera.
Lewat semalam, saluran berita AS, CBS, melaporkan AS sudah dimaklumkan Israel “sudah bersedia” untuk melancarkan serangan ke atas Iran dan sekiranya serangan itu berlaku, Washington “menjangkakan” Tehran akan bertindak balas dengan menyasarkan “lokasi-lokasi tertentu milik Amerika di negara jiran Iraq”.
Markas Pemerintahan Pusat (CENTCOM) AS dalam satu kenyataan semalam berkata, Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth, mengarahkan pemindahan keluarga anggota tentera di rantau tersebut dan CENTCOM kini sedang “memantau ketegangan yang sedang berkembang”.
Arahan itu dikeluarkan berdasarkan komitmen untuk “melindungi rakyat Amerika, baik di dalam mahupun di luar negara”, kata Jabatan Negara AS.
Presiden AS, Donald Trump berkata, arahan untuk memindahkan kakitangan yang bukan perkhidmatan penting dikeluarkan kerana rantau itu “berpotensi menjadi tempat yang berbahaya”.
“Kita akan lihat apa yang berlaku. Kita telah beri notis untuk keluar, dan kita akan lihat apa hasilnya,” katanya.
Ketidaktentuan di rantau berkenaan semakin memuncak sejak beberapa hari kebelakangan ini apabila rundingan antara AS dan Iran berhubung program nuklear Iran dilihat menemui jalan buntu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








