LUAR NEGARA

21 negara Arab, Islam kecam serangan Israel ke atas Iran

KAHERAH – 21 buah negara Arab dan Islam mengecam serangan udara Israel ke atas Iran serta menyeru kepada pengurangan ketegangan serantau, perlucutan senjata nuklear “tanpa pilih kasih” dan penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa.

Menurut agensi Anadolu yang memetik agensi berita rasmi Mesir, MENA, kecaman itu dikeluarkan menerusi kenyataan bersama diusahakan Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty, selepas berunding dengan rakan sejawatannya di seluruh rantau berkenaan.

Kenyataan bersama itu ditandatangai oleh Türkiye, Jordan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Pakistan, Bahrain, Brunei, Chad, Gambia, Algeria, Comoros, Djibouti, Arab Saudi, Sudan, Somalia, Iraq, Oman, Qatar, Kuwait, Libya, Mesir dan Mauritania.

Dalam kenyataan itu, para menteri luar mengecam serangan Israel ke atas wilayah Iran dan menyifatkannya sebagai satu bentuk pelanggaran undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kenyataan itu trutu menekankan keperluan untuk menghormati kedaulatan negara, integriti wilayah serta prinsip berjiran baik dan menyeru kepada penyelesaian pertikaian secara aman.

“Kami turut bimbang terhadap peningkatan ketegangan yang berbahaya, yang mana ia berpotensi membawa akibat lebih serius terhadap keselamatan dan kestabilan serantau.

“Sehubungan itu kami menyeru tindakan permusuhan Israel terhadap Iran dihentikan serta-merta dan usaha penyuraian secara menyeluruh dijalankan ke arah gencatan senjata yang komprehensif,” kata kenyataan itu lagi.

Ketegangan di Timur Tengah semakin memuncak sejak Jumaat lalu apabila Israel melancarkan serangan udara bersepadu ke atas beberapa lokasi di Iran, termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear, yang mendorong Tehran melancarkan serangan balas menggunakan peluru berpandu dan dron.

Dalam serangan balas Iran ke atas Israel, sekurang-kurangnya 24 terbunuh dan ratusan lagi cedera, kata pihak berkuasa Israel.

Iran pula menyatakan sekurang-kurangnya 224 orang terbunuh manakala lebih 1,000 lagi rakyatnta cedera dalam serangan Israel.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button