Tiada toleransi rumah ibadat tidak sah, PBT diberi kuasa bertindak – PM
PUTRAJAYA – Kerajaan menegaskan bahawa pembinaan atau kewujudan mana-mana rumah ibadat yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang tidak lagi akan diizinkan, selaras prinsip negara hukum dan usaha memperkukuh perpaduan nasional.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) diberi kuasa penuh untuk bertindak membersihkan kawasan yang bukan milik sah bagi menyelesaikan isu berkenaan secara tertib, adil dan berlandaskan undang-undang.
“Saya ingin mengumumkan ketetapan bahawa mulai sekarang, pembinaan atau kewujudan rumah ibadat yang tidak mematuhi peraturan tidak lagi akan diizinkan.
“Majlis Bandaran (PBT) diberi kuasa untuk bertindak supaya dibersihkan kawasan yang bukan hak kuil demi menyelesaikan isu ini dengan baik,” katanya.
Saya dengan ini, mahu umumkan ketetapan kita, tidak lagi mengizinkan yang tidak mengikut peraturan dan Majlis Bandaran diberi keizinan untuk bertindak supaya dibersihkan kawasan yang bukan hak kuil supaya selesai masalah ini dengan baik.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Menteri sempena Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) di sini, hari ini.
Menurut Anwar, ketegasan itu bukan bertujuan menafikan hak mana-mana penganut agama, sebaliknya bagi memastikan setiap rumah ibadat sama ada masjid, gereja, kuil atau lain-lain dibangunkan mengikut peraturan yang sama, tanpa pengecualian.
“Islam adalah agama Persekutuan dan agama-agama lain dijamin hak untuk diamalkan.
“Namun, tidak ada mana-mana pihak yang boleh merampas tanah, menggunakan tanah tanpa kebenaran, lalu menuntut pengiktirafan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan agar isu rumah ibadat tidak dieksploitasi untuk mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama, sama ada dengan tindakan meroboh secara melulu atau mempertahankan struktur yang jelas melanggar undang-undang.
“Kita adalah negara hukum. Jika ada pelanggaran, ambil tindakan mengikut saluran undang-undang.
“Jangan ada pihak yang cuba menjadi wira atau pejuang agama dengan cara yang mencetuskan kebencian dan kekecohan,” tegasnya.
Perdana Menteri turut menekankan bahawa dakwah dan perjuangan agama mesti dilaksanakan dengan hikmah, akhlak dan kebijaksanaan, selaras contoh yang ditunjukkan Rasulullah SAW demi memastikan keharmonian dan kestabilan negara terus terpelihara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








