
Subsidi Silinder LPG: Jemaah Menteri setuju pinda akta kawalan bekalan
PUTRAJAYA – Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju dengan syor Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk melaksanakan pindaan terhadap Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) (Pindaan) 2021.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata syor yang telah diluluskan oleh pentadbiran kerajaan terdahulu dan mula berkuat kuasa pada 15 Oktober 2021 itu bertujuan menambah baik peraturan sedia ada ketika ini.
Katanya, ia termasuk mengehadkan pemilikan dan penggunaan Gas Petroleum Cecair (LPG) melebihi 42 kilogram pada satu-satu masa, yang memerlukan Permit Barang Kawalan Berjadual (PBKB).
“Antara matlamat utama pindaan tersebut adalah untuk mengambil kira keperluan sebenar peniaga makanan dan minuman berskala mikro dan kecil secara bersasar serta memastikan kejelasan dari sudut undang-undang bagi mempertingkatkan keberkesanan pematuhan dan penguatkuasaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Armizan menambah, Jemaah Menteri turut bersetuju agar semakan dan pindaan ini diselaraskan oleh sebuah Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPDN dengan penglibatan kementerian dan agensi berkaitan.
Beliau berkata, proses itu juga akan melibatkan libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi mendapatkan pandangan serta syor yang lebih menyeluruh.
Kerajaan turut memperakukan bahawa tiada tindakan undang-undang akan diambil terhadap peniaga mikro dan kecil dalam sektor makanan dan minuman berkaitan penggunaan silinder LPG bersubsidi untuk keperluan premis perniagaan mereka.
“Peniaga-peniaga ini juga dibenarkan untuk mendapatkan bekalan tong LPG bersubsidi tanpa memerlukan sebarang permit barang kawalan berjadual,” katanya bagi tempoh pelaksanaan OPS GASAK dan sehingga pindaan PPKB 2021 dimuktamadkan.
Pada masa yang sama, KPDN akan meneruskan pelaksanaan OPS GASAK yang menumpukan kepada tindakan tegas terhadap aktiviti penyelewengan termasuk ‘decanting’ haram dan penyalahgunaan LPG bersubsidi oleh pihak industri.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |