BERITA SEMASA

MCMC siasat video pempengaruh didakwa beri sisa makanan kepada gelandangan

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memulakan siasatan berhubung satu video tular yang memaparkan sekumpulan individu dipercayai pempengaruh media sosial memberikan sisa makanan kepada seorang gelandangan.

Menurut MCMC, siasatan itu dijalankan susulan aduan orang ramai yang menganggap kandungan berkenaan tidak beretika dan mengeksploitasi golongan terpinggir demi hiburan murahan serta tontonan media sosial.

“MCMC memandang serius tindakan menghasilkan dan menyebarkan kandungan sedemikian yang boleh merendahkan maruah individu serta menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, penyebaran kandungan yang menghina martabat golongan gelandangan bukan sahaja tidak berperikemanusiaan, malah menyumbang kepada normalisasi budaya toksik dalam ruang digital.

MCMC berkata, siasatan dijalankan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak menyebarkan atau memuat naik sebarang kandungan berunsur provokasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam,” menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan tersebut, mana-mana individu yang berkongsi kandungan jelik, melampau, palsu atau berunsur ancaman boleh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

MCMC berkata, pihaknya kekal komited dan tegas dalam memastikan ruang siber tidak disalahgunakan demi menjamin keharmonian serta kedaulatan undang-undang di negara ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button