Malaysia tuntut pembebasan serta-merta tanpa syarat aktivis flotila ke Gaza – Wisma Putra
PUTRAJAYA – Malaysia menuntut pembebasan segera tanpa syarat terhadap semua aktivis, petugas kemanusiaan dan anak kapal Global Sumud Flotilla (GSF), termasuk 12 rakyat Malaysia.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar menegaskan, kapal serta bantuan kemanusiaan yang dibawa ke Gaza menerusi misi tersebut perlu disalurkan dengan selamat dan tanpa halangan.
“GSF merupakan inisiatif sah dan aman yang digerakkan untuk menyampaikan bantuan mendesak ke Gaza, ketika rakyat Palestin berdepan genosid, kebuluran, krisis kesihatan meruncing serta penderitaan berpanjangan.
“Tindakan Israel memintas flotila ini bukan sahaja bercanggah dengan undang-undang antarabangsa, malah merupakan pencabulan jelas terhadap undang-undang maritim antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta undang-undang hak asasi manusia antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
Setakat pukul 10 pagi tadi, seramai 12 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF disahkan dipintas tentera Israel di perairan Gaza.
Dalam kenyataan sama, Kementerian Luar atau Wisma Putra menegaskan, Malaysia mengecam dengan sekeras-kerasnya tindakan jenayah dan kekerasan yang bersifat pengecut oleh pihak Israel terhadap misi kemanusian GSF.
Tegasnya, Malaysia turut menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa mengambil tindakan segera dan konkrit untuk menghentikan tindakan Israel.
Tindakan konkrit itu bagi memastikan rejim Zionis yang berterusan bebas daripada hukuman dipertanggungjawabkan atas pelanggaran undang-undang tersebut.
“Masyarakat antarabangsa tidak boleh lagi bertolak ansur terhadap pengabaian terang-terangan Israel terhadap norma dan prinsip sejagat.
“Malaysia kekal teguh menyokong penyelesaian adil, menyeluruh dan berkekalan, termasuk penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berasaskan persempadanan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” kata kenyataan itu lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








One Comment