
Kebakaran paip gas: Bekalan elektrik dijangka pulih Jumaat ini
SUBANG JAYA – Bekalan elektrik di kawasan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu dijangka pulih sepenuhnya pada Jumaat ini.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor, Datuk Ir Izham Hashim berkata, Kerajaan Negeri Selangor sedang giat menjalankan usaha pemulihan bekalan gas, elektrik dan telekomunikasi akibat bencana baru-baru ini.
Menurut beliau, bekalan elektrik akan disalurkan ke meter rumah setiap penghuni dan akan dipasang dengan sistem keselamatan sebelum mereka dibenarkan memasuki kediaman mereka.
“Kami telah mengadakan perbincangan mendalam dengan Jawatankuasa Infra mengenai langkah susulan terhadap jajaran paip gas di seluruh Selangor.
“Kami juga telah berbincang dengan pihak Gas Malaysia untuk mengambil langkah-langkah tambahan bagi mempercepatkan pemulihan bekalan gas,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Selain itu, bagi bekalan gas, beliau menyatakan bahawa terdapat sedikit isu yang dihadapi disebabkan oleh gangguan bekalan yang memberi kesan kepada stesen jana kuasa elektrik.
Di Selangor, empat stesen jana kuasa terlibat iaitu di Serdang, Connaught Bridge, Pulau Indah dan Kapar.
“Dua stesen jana kuasa iaitu di Serdang dan Kapar boleh beralih kepada penggunaan arang batu dan minyak hitam sebagai alternatif manakala Pulau Indah dan Connaught Bridge, masih bergantung sepenuhnya kepada bekalan gas.
“Walaupun bekalan gas terjejas, kami ingin memaklumkan bahawa bekalan elektrik negara tidak terganggu kerana ia dapat diagihkan ke stesen jana kuasa lain bagi memenuhi keperluan bekalan elektrik negara,” tambahnya
Dalam pada itu, Izham turut menjelaskan bahawa gangguan bekalan gas memberi impak terhadap Gas Malaysia, dengan keperluan gas yang terjejas dianggarkan sekitar 330 juta kaki padu, melibatkan lebih 300 kilang dan 8,000 kediaman serta kawasan komersial di sekitar negeri ini.
Dalam usaha untuk mengurangkan impak kepada pengguna yang terjejas, Kerajaan Negeri Selangor bersama Gas Malaysia dan Petronas Gas sedang mencari jalan untuk meminimumkan kesan gangguan bekalan gas ini, terutamanya kepada kawasan kediaman, kawasan komersial dan kilang.
“Keperluan gas yang terjejas melibatkan sekitar 200 juta kaki padu untuk stesen jana kuasa, sementara 130 juta kaki padu diperlukan bagi keperluan kilang dan kediaman.
“Kami akan terus bekerjasama rapat dengan pihak Gas Malaysia dan Petronas Gas untuk memastikan keperluan gas bagi sektor-sektor ini dapat dipenuhi tanpa menjejaskan bekalan tenaga yang penting,” jelasnya
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |