BERITA SEMASADALAM NEGERI

JPKK Dengkil pantau rapat isu pencerobohan tanah masjid

DENGKIL – Jaminan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk merobohkan binaan haram sekiranya penceroboh gagal berpindah dalam tempoh yang ditetapkan disambut baik oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Dengkil.

Pengerusinya, Al Rasyid Ab Rani berkata, beliau bersyukur dengan jaminan itu dan mengingatkan bahawa tindakan tegas adalah selari dengan arahan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sendiri.

“Alhamdulillah, syukur jika ada jaminan dari pihak Menteri Besar. Ini arahan Sultan. Kalau mereka ingkar, bermakna mereka derhaka kepada titah Sultan,” katanya ketika dihubungi Malaysia Tribune.

Al Rasyid ketika mendedahkan struktur rumah ibadat haram yang dibina di sebuah tapak masjid di Dengkil baru-baru ini,

Menurut beliau, pasukan JPKK kini menjalankan pemantauan berkala terhadap tanah yang diperuntukkan untuk pembinaan masjid baharu dan akan terus memastikan perkembangan tanah itu tidak terlepas daripada perhatian.

“Setakat ini, belum ada apa-apa tindakan dari Pejabat Tanah dan Daerah Sepang serta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada tanah tersebut.

“Kecuali Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang datang meninjau penyambungan kabel haram dari tapak projek dalam sekolah ke rumah sewa kongsi di atas tanah itu.

“Pihak TNB telah memberi jaminan untuk selesaikan isu itu dalam masa sebulan,” tambahnya.

Ditanya mengenai tempoh yang diberikan kepada penceroboh untuk berpindah, Al Rasyid menjelaskan beliau tidak dijemput menghadiri mesyuarat antara pihak JAIS, Pejabat Tanah dan Daerah, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Saya tiada jawapan untuk perkara itu. Harap selepas bermesyuarat dan makan bihun bersama, mereka sudah ada jawapan yang boleh dikongsikan,” katanya berseloroh.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai reaksi pihak tertentu terhadap tindakannya menularkan isu berkenaan di media sosial.

“Saya sentiasa mendapat sokongan untuk menaikkan masjid di kawasan yang telah dijanjikan. Tapi bila melibatkan hal politik, biasalah, ada yang sokong, ada yang kecam.

“Terpulanglah kepada mereka untuk menilai. Saya tahu ada orang atasan yang agak marah dengan saya kerana isu ini. Saya hanya jalankan tanggungjawab saya,” tegasnya.

Menyentuh isu rundingan dengan masyarakat Orang Asli berkaitan tanah rayau, beliau berharap akan ada jalan penyelesaian yang terbaik demi keharmonian semua pihak.

Al Rasyid juga memberitahu, masyarakat boleh mengikuti perkembangan lanjut mengenai isu tanah masjid yang diceroboh ini menerusi laman Facebook rasmi Pengerusi JPKK Dengkil.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button