BERITA SEMASA

JPKK Dengkil luah rasa kecewa, aduan jalan retak diabaikan

DENGKIL – Ketua Kampung Dengkil, Al Rasyid Ab Rani meluahkan rasa kecewa terhadap pihak berwajib yang didakwa mengabaikan aduan berhubung kerosakan jalan di kawasan kampungnya, khususnya di Kampung Tok Aminuddin dan Kampung Cemperai, di sini.

Menurut beliau, keretakan kecil pada jalan utama di Kampung Tok Aminuddin yang mula dilaporkan pada Disember tahun lalu kini semakin serius hingga merebak ke bahagian tengah jalan, bersebelahan sebuah longkang besar yang boleh membahayakan nyawa pengguna jalan.

Jalan ini pada mulanya hanya mengalami kerosakan kecil, namun lama kelamaan ia semakin retak hingga ke jalan utama.

“Kalau jatuh, memang boleh terus masuk ke dalam longkang tu. Retak asalnya kecil saja, tapi sekarang makin panjang dan serius,” katanya ketika dihubungi Malaysia Tribune.

Tambahnya lagi, laporan berkenaan telah dibuat menerusi sistem SISPAA pada hujung tahun lalu dan telah ditinjau oleh pihak pejabat tanah namun apabila beliau membuat susulan bulan ini, respons yang diterima amat mengecewakan.

“Pegawai yang sepatutnya menjaga infrastruktur di kawasan Dengkil iaitu Jurutera Daerah Sepang, mula-mula hanya ‘blue tick’ mesej saya.

“Lama-kelamaan, dia terus berhenti membalas dan kini saya dapati nombor saya telah disekat,” jelasnya yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Dengkil.

Menurut Al Rasyid, tindakan menyekat komunikasi tersebut menyukarkan beliau untuk terus membuat aduan atau menyampaikan rungutan penduduk kampung.

Malah, beliau kini terpaksa berurusan secara terus dengan pegawai atasan jurutera berkenaan.

Salah satu infrastruktur jalan yang rosak di Kampung Cemperai, Dengkil.

“Kalau dah kerja kerajaan, tanggungjawab tu kena pikul bersama. Bukan semua nak diserahkan kepada ketua kampung.

“Kalau tak lulus peruntukan, beritahu sajalah tapi jangan sampai blok nombor pula,” ujarnya.

Beliau juga mempersoalkan keutamaan pihak berwajib yang dilihat bangga mengumumkan kutipan hasil oleh pejabat tanah kepada kerajaan negeri, sedangkan isu asas seperti penyelenggaraan jalan kampung terus terabai.

“Turunlah tengok sendiri keadaan jalan tu makin teruk. Penduduk tanya hari-hari, saya nak jawab apa?

“Takkan nak cakap jurutera yang sepatutnya jaga kawasan ni dah blok nombor saya?” tambahnya.

Al Rasyid turut mengakui bahawa kampung-kampung lain di sekitar Dengkil juga mengalami masalah sama, namun rata-rata ketua kampung menyuarakan kebimbangan yang serupa iaitu infrastruktur asas semakin terabai, manakala saluran aduan pula semakin terhad.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button