Air longkang bertukar hijau, busuk melimpah ke kawasan sekolah
DENGKIL – Masalah longkang tersumbat yang menyebabkan air bertukar hijau dan berbau busuk di sekitar kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan Dengkil di sini semakin merunsingkan penduduk.
Lebih memburukkan keadaan, limpahan air longkang juga dikhuatiri boleh menjadi punca banjir kilat jika berlaku hujan lebat di kawasan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Dengkil, Al Rasyid Ab Rani berkata, masalah itu juga kerap menyebabkan laluan utama di depan sekolah itu dinaiki air dan sesak pada waktu puncak.

“Sekarang ini air sudah bertukar hijau dan berbau busuk sampai melimpah masuk ke kawasan sekolah.
“Inilah tempat untuk kita lahirkan doktor, peguam, ketua kampung dan perdana menteri pada masa depan, tetapi terpaksa belajar dalam keadaan kotor dan tidak selesa.
“Kalau hujan, air ini boleh melimpah ke tengah jalan. Diharap pihak berwajib dapat bertindak segera,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Beliau yang juga Ketua Kampung Dengkil berkata, isu berkenaan sudah lama berlanjutan dan pernah dibangkitkan oleh ahli majlis bersama jurutera Majlis Perbandaran Sepang, namun tiada tindakan susulan diambil.

“Sebelum ini, ahli majlis sudah turun bersama jurutera majlis perbandaran, tetapi selepas itu ‘senyap’. Apabila masalah tidak selesai, orang kampung mengadu pula kepada saya. Longkang ini tersumbat dan bila hujan, risiko banjir kilat tinggi. Sekarang sudah masuk ke kawasan sekolah pula.
“Saya mohon pihak majlis menyelesaikan segera isu ini bagi mengelakkan banjir kilat berulang,” ujarnya kepada Malaysia Tribune.
Beliau menegaskan, tindakan pantas perlu diambil demi keselamatan pelajar dan kesejahteraan penduduk setempat.
“Kalau air ini masuk ke dalam bank berdekatan, saya yakin masalah ini akan selesai dalam masa singkat,” katanya secara sinis.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












