BERITA SEMASADALAM NEGERI

GSF: Farah Lee dedah maruah wanita Islam diinjak ketika dalam tahanan Israel

SEPANG – “Berdirinya saya di sini bukan sahaja mewakili rakan-rakan wanita delegasi Malaysia, tetapi juga wanita-wanita dan ibu-ibu yang sedang ditindas di Gaza, di Palestin.”

Demikian kata aktivis kemanusiaan, Farah Lee, atau nama sebenarnya Nur Farahin Romli, 36, salah seorang daripada 23 delegasi Malaysia dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF), sebaik tiba di tanah air selepas menyertai misi kemanusiaan ke Gaza.

Menurutnya, pengalaman yang dilalui sepanjang misi itu memberi kesedaran mendalam mengenai ketabahan dan maruah wanita Islam yang berdepan penindasan berterusan di bumi bergolak itu.

Farah mendedahkan bagaimana beliau dan rakan-rakan wanita delegasi dipaksa menanggalkan tudung di hadapan lelaki ketika ditahan pihak berkuasa rejim.

“Tudung kami dirampas, kami dipaksa menanggalkannya di hadapan lelaki, dan kami hanya mampu menutup kepala dengan baju-T putih demi menjaga maruah sebagai wanita Islam,” katanya pada sidang media kepulangan delegasi GSF di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi.

Baca juga : Sumud Flotilla: ZRA pulang tanpa publisiti, enggan disanjung

Beliau berkata, para delegasi turut menyaksikan pelbagai bentuk kezaliman terhadap rakyat Palestin termasuk sekatan terhadap akses air bersih, ubat-ubatan serta keperluan asas wanita seperti produk kebersihan diri.

“Apa yang kami rasa itu tidak sampai satu peratus daripada apa yang mereka alami setiap hari di Gaza,” ujarnya.

Dalam sidang media sama, Pelakon dan aktivis kemanusian, Ardell Aryana menzahirkan ucapan terima kasih kepada orang ramai yang hadir secara sukarela menyambut kepulangan mereka.

Walau bagaimanapun, Ardell tidak memberi ucapan panjang namun mengajak orang ramai untuk hadir ke Axiata Arena hari ini sempena Himpunan Sumud Nusantara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button