Deklarasi Kuala Lumpur perlu realistik, imbangi pengaruh kuasa besar dan perkukuh peranan ASEAN
TAHUN 2025 menjadi detik penting dalam sejarah diplomasi serantau apabila Malaysia kembali menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN.
Dalam suasana geopolitik yang kian mencabar, tanggungjawab itu bukan sahaja menuntut keupayaan kepimpinan diplomatik, malah kebijaksanaan dalam merangka masa depan rantau Asia Tenggara yang lebih stabil, bersatu dan makmur.

Salah satu tonggak penting kepengerusian Malaysia ini ialah Deklarasi Kuala Lumpur yang bakal dilaksanakan.
Ia merupakan satu dokumen strategik yang akan menjadi rujukan hala tuju ASEAN dalam dekad baharu.
Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr. Mohamad Faisol Keling berkata, deklarasi tersebut mesti dibentuk sebagai lanjutan transformasi ASEAN yang pernah dimulakan sebelum ini, namun dengan pendekatan yang realistik dan boleh dilaksanakan secara konkrit.
“Transformasi yang kita bawa dalam deklarasi ini perlu work-able dan bukan lagi sekadar retorik dasar.
“ASEAN perlukan pelan tindakan yang bersifat praktikal, bukan simbolik,” ujar beliau kepada Malaysia Tribune.
Melepasi kepentingan nasional demi kesepaduan serantau
Salah satu cabaran terbesar ASEAN selama ini adalah menangani konflik kepentingan antara negara anggota.
Dr. Mohamad Faisol menegaskan, transformasi yang ingin digerakkan tidak boleh lagi terikat kepada kepentingan nasional semata-mata, sebaliknya ASEAN mesti bergerak dengan semangat kolektif dan kerjasama tulen.

“Kerjasama serantau hanya boleh dicapai jika semua negara anggota sedia berkompromi dan meletakkan kepentingan bersama di hadapan. Inilah semangat ASEAN sebenar,” katanya.
Mengimbangi pengaruh kuasa besar
Dalam aspek keselamatan dan kestabilan geopolitik pula, ASEAN disaran agar lebih peka dan responsif terhadap kehadiran serta persaingan kuasa besar di rantau ini.
“Sejak 1990-an, kemunculan China sebagai kuasa ekonomi, politik dan ketenteraan telah mengubah landskap geopolitik Asia Tenggara.

“Selain China, persaingan kuasa seperti Amerika Syarikat, Rusia dan United Kingdom semakin ketara terutama dalam bidang perdagangan, teknologi serta pengaruh ketenteraan.
“Justeru, ASEAN perlu mengatur langkah agar tidak menjadi medan proksi, sebaliknya menjadi entiti yang bijak mengimbangi pengaruh kuasa besar ini demi kestabilan serantau,” jelas beliau.
Isu serantau: Perang India–Pakistan perlu diambil kira
Dalam pada itu, perang yang tercetus antara India dan Pakistan pada pertengahan Mei lalu perlu diberi perhatian serius oleh ASEAN.
BACA : Deklarasi Kuala Lumpur dilancar sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46
“Ini memandangkan kedua-dua negara tersebut merupakan kuasa nuklear dan jiran terdekat kepada ASEAN.
“Ia menyebabkan krisis di Asia Selatan ini mampu memberi kesan limpah kepada Asia Tenggara, khususnya dalam aspek keselamatan, ekonomi dan perpindahan penduduk,” katanya lagi.
Konsep segi tiga: Ancaman dan peluang
Mengulas lanjut, Dr. Mohamad Faisol berkata, konsep Triangle of Threat and Opportunity antara ASEAN – Asia Timur (China) – Asia Selatan (India) juga wajar diberi tumpuan strategik.

“Ini berdasarkan tiga sebab utama iaitu China mendominasi Laut China Selatan, India menguasai Lautan Hindi dan ASEAN berkongsi kedua-dua laluan laut serta menjadi penghubung utama geografi antara dua kuasa tersebut.
“Tambahan pula, populasi etnik Cina dan India telah lama menjadi sebahagian daripada struktur demografi negara-negara ASEAN.
“Oleh itu, hubungan serantau bukan sekadar soal geopolitik tetapi turut berkait dengan sejarah, budaya dan masyarakat setempat,” jelas beliau.
Ancaman sempadan dan keperluan penyelarasan dasar
Dr. Mohamad Faisol turut menekankan isu pertindihan sempadan, percanggahan dasar keselamatan dan pergeseran agensi penguat kuasa di kawasan sempadan yang perlu ditangani segera.
BACA : ASEAN: Falsafah MADANI pacu rantau berdaya saing
“Jika dibiarkan berlarutan, pertikaian ini boleh mencetuskan konflik berskala lebih besar yang menggugat kestabilan rantau.
“Justeru, ASEAN perlu merangka garis panduan yang jelas dalam mengurus konflik sempadan, memperkukuh mekanisme dialog dan memupuk persefahaman yang lebih utuh dalam aspek keselamatan rentas sempadan,” tegasnya.
Dari retorik ke tindakan
Satu yang pasti, kepimpinan Malaysia dalam ASEAN 2025 membawa harapan yang besar.

Lantaran itu, Deklarasi Kuala Lumpur tidak seharusnya menjadi sekadar dokumen simbolik, tetapi perlu menjadi manifestasi kesungguhan ASEAN untuk bergerak ke hadapan sebagai satu blok yang bersatu, progresif dan realistik.
Dengan perubahan landskap dunia yang semakin kompleks dan cabaran serantau yang semakin mendesak, ASEAN memerlukan anjakan paradigma iaitu dari retorik kepada tindakan, dari kepentingan nasional kepada keutamaan kolektif dan dari pengaruh luar kepada kedaulatan bersama.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






