
ASEAN: Falsafah MADANI pacu rantau berdaya saing
DI bawah langit Asia Tenggara yang semakin dinamik, Malaysia terus melangkah gagah sebagai salah satu tiang utama ASEAN sejak penubuhannya pada tahun 1967.
Memasuki kali kelima memegang tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia sentiasa berada di barisan hadapan dalam membentuk hala tuju rantau Asia Tenggara.
Pemerhati Hubungan Antarabangsa dan Politik, Universiti Utara Malaysia, Nur Ashikin Yusof berkata, di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX), konsep Malaysia Madani membawa nafas baharu dalam pendekatan diplomasi serantau, menjadikan nilai keadilan sosial, kelestarian dan kesejahteraan sebagai teras hubungan Malaysia-ASEAN.
Menurut beliau, sebagai negara pengasas, Malaysia banyak menyumbang kepada kejayaan ASEAN.

“Contohnya pada tahun 1971, Malaysia mempelopori konsep Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) untuk memastikan rantau Asia Tenggara bebas daripada campur tangan kuasa besar.
“Pada 2015, ketika menjadi pengerusi, Malaysia menjadi penggerak utama kepada penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) yang menjadikan ASEAN sebagai pasaran tunggal.
“Namun cabaran besar terus wujud, termasuk isu hak asasi manusia di Myanmar dan ketegangan di Laut China Selatan,” jelas beliau.
Tambahnya, di bawah visi Madani, PMX memperkenalkan pendekatan inklusif yang menjadikan ASEAN lebih holistik.
“Ekonomi serantau yang saksama kini menjadi keutamaan dengan usaha memperkukuh perdagangan intra-ASEAN yang memberikan manfaat kepada semua anggota.
“Kelestarian alam sekitar juga diberi perhatian, dengan Malaysia menjadi suara utama dalam agenda hijau ASEAN, seperti tenaga boleh diperbaharui dan pengurangan karbon,” tegasnya.
Bagaimanapun, jelas Nor Ashikin, isu kemanusiaan menjadi fokus terbesar Malaysia di bawah PMX.

“Beliau lantang menyuarakan penyelesaian segera kepada krisis Myanmar dan kebajikan pelarian Rohingya, mencerminkan komitmen kepada nilai keadilan sosial dalam Madani.
“Pendekatan itu menunjukkan Malaysia tidak hanya bercakap soal ekonomi tetapi turut menjadikan hak asasi manusia sebagai keutamaan ASEAN.
“Pendekatan Malaysia Madani membawa dimensi baharu yang segar dan kritikal kepada ASEAN,” katanya lagi.
Malah, dengan menyeimbangkan keutamaan domestik dan serantau, PMX kini dilihat sebagai pemimpin yang mampu memacu ASEAN ke arah masa depan yang lebih inklusif, hijau dan adil selaras dengan aspirasi membentuk rantau yang harmoni dan progresif.
“Malaysia Madani bukan sekadar visi untuk negara, tetapi sebuah inspirasi untuk ASEAN iaitu sebuah rantau yang memimpin dengan nilai, bukan hanya kekuatan,” ungkapnya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |