AUTOMOTIF & TEKNOLOGIBERITA SEMASA

Capaian internet di seluruh institusi pendidikan MARA dipertingkat

KUALA LUMPUR – Usaha memperkukuh capaian internet berkualiti di institusi pendidikan negara terus dipertingkat apabila Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Majlis Amanah Rakyat (MARA) hari ini.

Majlis pertukaran MoU yang berlangsung di Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) itu disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

mara
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (kanan) dan Pengerusi Eksekutif MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Menerusi kerjasama strategik tersebut, MCMC dan MARA akan berganding bahu mempertingkat kualiti capaian internet di semua institusi pendidikan MARA di seluruh negara, termasuk Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), GIATMARA dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Menurut kenyataan bersama, inisiatif itu akan memudahkan urusan pembelajaran serta mempertingkat sistem penyampaian awam di premis MARA.

Selain itu, MoU tersebut turut merangkumi pelaksanaan Kempen Internet Selamat yang menggunakan modul baharu khas untuk warga institusi pengajian tinggi, penyediaan khidmat konsultasi bagi menaik taraf liputan mudah alih dan jalur lebar gentian optik, serta kajian teknologi di kawasan kurang liputan.

Menurut kenyataan itu lagi, kedua-dua pihak turut bekerjasama dalam memperkukuh pembangunan usahawan melalui pembudayaan ICT dan e-dagang.

“Program peningkatan kemahiran serta penyelidikan dalam bidang keselamatan siber juga dirangka untuk melahirkan bakat digital yang memenuhi keperluan industri semasa,” kata kenyataan itu.

Sebagai permulaan, MCMC telah membuat pemeriksaan liputan internet di Kolej Profesional MARA (KPM) Ayer Molek, Melaka.

Hasilnya, sebuah Portable Base Station telah dipasang sebagai penyelesaian sementara dan pembinaan menara tetap akan dilaksanakan bagi memastikan liputan menyeluruh.

“Kerjasama itu diharap mampu memperkasakan infrastruktur digital MARA, melahirkan pengguna digital yang celik siber dan kompeten dalam bidang ICT, e-dagang serta keselamatan siber,” menurut kenyataan itu.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengerusi Eksekutif MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button