Bonda Nor Sdn. Bhd. lancar 10 judul buku baharu sempena PBAKL 2025
KUALA LUMPUR – Syarikat penerbitan Bonda Nor Sdn. Bhd. (BNSB) bakal melancarkan 10 judul buku baharu sempena penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 yang bermula Jumaat ini.
Ketua Pegawai Eksekutif BNSB, Bonda Nor atau Norli Madlan berkata, pihaknya sentiasa berusaha menghasilkan karya-karya dakwah santai yang menyentuh jiwa dan kaya dengan ibrah.

“Saya selalu sebut di dalam ceramah, setiap naskhah yang diterbitkan oleh syarikat BNSB, perlu membawa pembaca mendekati Allah melalui penulisan yang lahir dari hati.
“Alhamdulillah, tahun ini sempena PBAKL kami akan membawakan pelbagai genre daripada motivasi, fiksyen kontemporari hingga karya kanak-kanak dan remaja yang mencerminkan kepelbagaian suara serta bakat dalam ekosistem penulisan tanah air,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Antara judul yang berjaya diterbitkan ialah Kerana Aku Mahu Syurga tulisan Bonda Nor sendiri, MISI K2 (Khafiz Al Kicok); Solo, Bukan Aku Tak Sudi (Faizah Ahmad); Midnight (Abdul Muiez Ruslee); Berdua Juga Baik (Nadhirah Muhamad Arib & Zulkifli Che Noh); Mat Mistik (Penulis Bengkel Penulisan Bonda Nor); Pelangi di Rumah Kita (Penulis Akademi Bonda Nor); Hafaz Al-Mulk dan Buku Tulis Ekspres-I.

Menurut Bonda Nor lagi, beliau bersyukur kerana buku solonya bertajuk Kerana Aku Mahu Syurga berjaya juga disiapkan meskipun berdepan kekangan menyunting pelbagai karya lain termasuk buku antologi.
“Saya dah berusaha apa yang termampu untuk menerbitkan buku-buku berkualiti dan menyajikan bahan bacaan terbaik pada khalayak.
“Semoga sedikit langkah kecil ini dipandang Allah sebagai usaha dakwah dan jariah yang berpanjangan,” ujar Bonda Nor.

Beliau turut menghargai pasukannya yang terdiri daripada penulis Akademi Bonda Nor, ahli Dropshipper Bonda Nor dan Ekspres-I United dan Kelab Sahabat Bonda Nor yang selalu memberi sokongan dalam perjuangannya memartabatkan penulisan dakwah santai di tanah air.
Sementara itu, selain 10 buku baharu, lebih daripada 100 judul sedia ada akan turut dibawa ke PBAKL termasuk buku kanak-kanak, remaja dan dewasa, dalam kategori fiksyen serta bukan fiksyen.
Menariknya, pengunjung bukan sahaja dapat membeli buku, tetapi juga berpeluang bertemu dan beramah mesra dengan para penulis di Reruai Anjung Bonda Nor yang terletak di hadapan pintu masuk Dewan Tun Razak 3.

Malah, Bonda Nor sendiri dijadualkan hadir setiap hari sepanjang pesta buku berlangsung sekali gus memberi peluang kepada peminat dan pembaca untuk bertemu dan mendapatkan tandatangan beliau secara eksklusif.
Terdahulu sekitar Januari lalu, Bonda Nor tampil mempertahankan haknya apabila tempahan reruai yang telah berjaya dibuat secara sah, dibatalkan atas alasan teknikal.

Rentetan status demi status mengenai perkara tersebut yang dibangkitkan Bonda Nor di media sosialnya dan tular hingga mendapat perhatian pihak berkuasa, akhirnya pasukan beliau mendapat semula lot tempahan tersebut.
BACA : Bonda Nor dapat semula hak reruai PBAKL
BACA : Bonda Nor tolak tawaran, tetap tuntut hak reruai PBAKL
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






