BERITA SEMASA

Bonda Nor dapat semula hak reruai PBAKL

KUALA LUMPUR – Kes melibatkan isu tempahan reruai sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 yang dialami penulis dan penerbit terkenal, Bonda Nor akhirnya selesai dengan cara baik.

Rentetan status demi status mengenai perkara tersebut yang dibangkitkan Bonda Nor di media sosial dan menjadi tular sejak malam tadi, akhirnya ia turut berjaya mendapat perhatian pihak berkuasa.

Dalam satu hantaran di media sosial, Bonda Nor mengakui hatinya berdebar menerima panggilan dari seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan rasuah Malaysia (SPRM) dan terkenang kembali pengalamannya berceramah di hadapan pegawai tinggi SPRM suatu ketika dahulu.

Namun, beliau akhirnya lega apabila dimaklumkan bahawa SPRM sedia menyiasat dan membantu menyelesaikan isu tersebut.

GAMBAR yang dimuatnaik Bonda Nor ketika berceramah di hadapan para pegawai tinggi SPRM pada tahun 2019.

“Allahuakbar. Sungguh, rasa nak luruh jantung apabila tiba-tiba terima panggilan daripada pegawai SPRM. Lama saya termenung, berkira-kira sama ada perlu membuat laporan atau tidak,” tulisnya.

Menurutnya, pegawai SPRM itu menjelaskan tentang akta dan hukuman berkaitan termasuk kemungkinan denda dan hukuman penjara jika terdapat kesalahan dalam penganjuran acara tersebut.

Hal ini membuatnya berasa serba salah kerana tidak berhasrat mahu menyukarkan kehidupan mana-mana pihak rentetan isu ini.

Bagaimanapun, beliau akhirnya menerima khabar gembira apabila Pengerusi PBAKL, Khair Ngadiron memaklumkan bahawa isu tersebut telah diselesaikan dengan persetujuan pihak yang terlibat.

“Alhamdulillah, kami berjaya selesaikan dengan persetujuan pihak yang satu lagi. Puan kekal di tempat yang dipohon. Kami akan menghantar e-mel pengesahan secepat mungkin. Mohon maaf atas segala kesulitan dan terima kasih atas kesabaran puan,” ujar Khair dalam mesejnya kepada Bonda Nor.

Turut menghubungi beliau ialah kakitangan penganjur dikenali sebagai Amran dan Huzir yang bersedia membetulkan isu teknikal berkaitan tempahan reruai tersebut.

Mengulas kejadian itu, Bonda Nor menzahirkan rasa syukur kerana haknya telah dikembalikan. Beliau juga berterima kasih kepada SPRM atas tindakan pantas mereka menyantuni isu ini serta pihak penganjur yang akhirnya menyelesaikan isu ini dengan adil.

Bonda Nor bersama sebahagian ahli pasukan yang membantu penyertaannya pada PBAKL 2024.

Beliau turut menyeru individu lain yang berdepan dengan situasi serupa agar berani mempertahankan hak mereka.

“Kadang-kadang kita telah menggunakan aduan melalui saluran yang betul, tetapi tidak dipedulikan. Sebab itu, adakalanya penting juga kuasa viral agar kebenaran dapat ditegakkan segera,” ujarnya.

Bonda Nor juga menyifatkan pengalaman ini sebagai ‘pahit yang manis’ kerana menyaksikan kesatuan pasukannya dalam memperjuangkan hak mereka serta sokongan orang ramai terhadap isu ini.

“Saya percaya, rantaian perkongsian mengenai isu ini ada manfaat dan pengajarannya buat penganjur dan kita semua. Do the right thing! Fight for your right!” katanya.

PBAKL merupakan acara tahunan yang dinantikan oleh para pencinta buku serta penerbit dari dalam dan luar negara.

Isu berkaitan tempahan reruai ini telah mencetuskan perbincangan dalam kalangan pempamer dan pengunjung mengenai keadilan dalam pengagihan ruang pameran di acara berprestij itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button