
Bonda Nor tolak tawaran, tetap tuntut hak reruai PBAKL
KUALA LUMPUR – Penulis dan penerbit terkenal, Bonda Nor terus bertegas mempertahankan haknya dalam isu pemilikan reruai di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025, meskipun ditawarkan bilik khas sebagai alternatif.
Dalam perkembangan terkini, Pengerusi PBAKL, Khair Ngadiron telah menghubungi beliau bagi memberikan penjelasan serta memohon maaf atas kekeliruan yang berlaku.
Namun, Bonda Nor tetap mempertikaikan ketelusan sistem tempahan reruai yang didakwa mempunyai unsur tidak adil.

Menurutnya, meskipun beliau telah berjaya menempah reruai secara sah dan menerima pengesahan tempahan melalui emel, reruai tersebut kemudiannya didakwa diberikan kepada pihak lain, iaitu Nurani Mutiara PLT, sebuah syarikat yang tidak tersenarai dalam Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
“Saya pertikaikan kenapa sistem dibuka sebelum jam 12? Katanya beliau sendiri yang mengarahkan sistem dibuka tepat jam 12, tetapi bagaimana pula ada pempamer yang boleh masuk lebih awal?
“Ini bercanggah dengan jawapan pegawainya yang mendakwa sistem dibuka awal untuk ‘setting’,” ujar Bonda Nor menerusi kenyataan di Facebook.
Beliau turut menolak tawaran bilik khas sebagai ganti, dengan menegaskan bahawa beliau berhak mendapatkan reruai di lokasi strategik yang telah ditempahnya secara sah.
“Saya dah berusaha keras untuk dapatkan booth di tempat strategik itu. Bila dah dapat, kenapa saya mesti terima tempat lain pula? Saya cuma nak hak saya!” tegasnya.
Tambah beliau, isu ketelusan dalam penganjuran PBAKL bukanlah perkara baharu dan telah berlarutan sejak beberapa tahun lalu, malah pernah mencetuskan kekecohan di kalangan pempamer.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pempamer yang turut terkesan untuk memperjuangkan hak masing-masing dan meminta pihak penganjur lebih telus dalam pengurusan tempahan reruai.
“Sistem battle ini asasnya adalah first come, first serve. Jika hak saya boleh dinafikan, bagaimana pula dengan pempamer lain?” soalnya.
Buat masa ini, Bonda Nor masih menunggu jawapan daripada pihak penganjur berkenaan penyelesaian isu tersebut.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |