Bekalan makanan negara mencukupi hingga pertengahan tahun – Mohamad Sabu
PUTRAJAYA – Malaysia tidak dijangka berdepan gangguan besar bekalan makanan meskipun konflik yang sedang memuncak di Asia Barat
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kebanyakan sumber import makanan negara tidak melalui laluan perkapalan utama yang terjejas akibat konflik, termasuk kawasan sekitar Selat Hormuz, sekali gus memastikan rantaian bekalan makanan negara kekal stabil.
Menurutnya, Malaysia memperoleh sebahagian besar bekalan makanan daripada negara seperti India, Pakistan, negara-negara ASEAN, serta Brazil, Argentina, New Zealand dan Australia.
“Selalunya apabila keadaan tidak menentu, terutama apabila harga minyak meningkat, orang akan bertanya tentang kedudukan makanan.
“Untuk pengetahuan semua, import makanan kita kurang melalui Selat Hormuz,” memetik BH online.
Tambah beliau, sekiranya konflik tersebut berlarutan, ia mungkin memberi kesan terhadap kos pengangkutan dan logistik yang akhirnya boleh mempengaruhi harga makanan.
Mohamad berkata, bekalan makanan utama seperti beras, daging, ayam dan telur ketika ini berada pada tahap mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei atau Jun.
“Buat masa ini kita tidak perlu bimbang. Kita sambut Hari Raya Aidilfitri dengan tenang dan berjimat-cermat,” katanya lagi.
Beliau turut memaklumkan kerajaan akan terus memantau perkembangan global termasuk kos pengangkutan dan rantaian logistik bagi memastikan keterjaminan bekalan makanan negara sentiasa terpelihara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








