LUAR NEGARA

Banjir besar Sumatera: Angka korban meningkat, lebih 400 masih hilang

JAKARTA – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) di pulau Sumatera terus dipergiat selepas angka kematian akibat banjir dan tanah runtuh meningkat kepada 442 orang, sementara 402 lagi masih hilang.

Ketua Agensi Pengurusan Bencana Negara Indonesia (BNPB) Suharyanto berkata, hujan lebat berterusan sejak minggu lalu menyebabkan banjir besar melanda beberapa wilayah, mengakibatkan rumah dihanyutkan arus deras, kampung ditenggelami lumpur serta ribuan penduduk terputus bekalan asas.

“Pasukan penyelamat menghadapi cabaran besar untuk memasuki kawasan Tapanuli Tengah dan Sibolga yang kini terasing sepenuhnya.

“Kedua-dua bandar ini memerlukan perhatian penuh kerana hubungan darat terputus. Kapal bantuan dijangka tiba hari ini,” memetik Sinar Harian online.

Beliau berkata, penduduk di beberapa kampung mendakwa mereka masih belum menerima sebarang bentuk bantuan susulan jalan raya yang dipenuhi runtuhan dan lumpur tebal.

Related Articles

“Ada yang terpaksa mencari makanan dan air bersih bagi meneruskan hidup.

“Ramai memilih untuk kekal di kampung. Mereka enggan tinggalkan rumah biarpun keadaan sangat sukar,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, seekor gajah Sumatera yang diiktiraf sebagai spesies terancam ditemui mati tertimbus lumpur di Meureudu, menggambarkan betapa dahsyatnya impak bencana tersebut.

Setakat ini, 646 mangsa turut dilaporkan cedera di tiga wilayah terjejas iaitu Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat.

Malaysia turut menghulurkan bantuan awal dengan menghantar bekalan perubatan ke Aceh, salah satu kawasan paling parah dilanda bencana.

Ribut Senyar dikenal pasti sebagai antara punca utama tanah runtuh dan banjir besar yang melanda negara tersebut sejak minggu lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button