Bangladesh rasmi sertai era tenaga nuklear, Loji Rooppur mula pemuatan bahan api uranium
DHAKA – Bangladesh secara rasmi memasuki era tenaga nuklear apabila proses pemuatan bahan api uranium ke Unit 1 Loji Kuasa Nuklear Rooppur (RNPP) bermula semalam.
Menurut laporan News.AZ, perkembangan itu menjadikan Bangladesh negara ke-33 di dunia yang menjana elektrik menggunakan tenaga atom bagi tujuan aman dan pembangunan mampan.
Majlis pelancaran yang berlangsung di Ishurdi, daerah Pabna itu dihadiri Menteri Sains dan Teknologi;, Fakir Mahbub Anam; Penasihat Perdana Menteri, Rehan Asif Asad; Ketua Pengarah syarikat nuklear Rusia, ROSATOM, Alexey Likhachev serta pegawai Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Bagaimanapun, Perdana Menteri Tarique Rahman dan Presiden Rusia, Vladimir Putin dilaporkan tidak hadir atas kekangan jadual.
Fakir Mahbub berkata, reaktor itu dijangka memulakan pengeluaran komersial pada Ogos ini, dengan kira-kira 300 megawatt (MW) tenaga elektrik disalurkan ke grid nasional secara percubaan menjelang pertengahan bulan tersebut.
“Menjelang minggu pertama Januari tahun depan, sekitar 1,100MW elektrik daripada kapasiti 1,200MW Unit 1 akan disalurkan ke grid nasional,” katanya kepada media selepas majlis perasmian pemuatan bahan api itu.
Loji Rooppur yang merupakan projek infrastruktur tenaga terbesar Bangladesh menempatkan dua reaktor dengan kapasiti keseluruhan 2,400MW.
Menurut beliau, pemuatan bahan api untuk Unit 2 pula dijadual bermula pada Jun 2027 dan apabila kedua-dua unit beroperasi sepenuhnya, sebanyak 2,200MW tenaga dijangka dapat disalurkan ke grid nasional menjelang September tahun sama.
Syarikat Power Grid Bangladesh PLC sebelum ini telah menyiapkan talian penghantaran kuasa bagi Unit 1 pada Mei tahun lalu, manakala sambungan berasingan untuk Unit 2 kini sedang dalam pembinaan dan dijangka siap menjelang Disember.
Portal media tempatan, Bonik Barta Online melaporkan, sebaik bahan api dimuatkan, reaktor itu mampu beroperasi secara berterusan selama kira-kira 18 bulan tanpa memerlukan pembelian berulang minyak, gas atau arang batu seperti loji jana kuasa konvensional.
Selepas tempoh itu, bahan api akan diganti secara berperingkat dengan satu pertiga pada satu-satu masa.
Sementara itu, Likhachev berkata, pencapaian tersebut menandakan Bangladesh kini menyertai kelompok negara yang menggunakan tenaga nuklear secara aman sebagai sumber pembangunan lestari yang boleh dipercayai.
“Loji Kuasa Nuklear Rooppur pasti akan menjadi elemen penting dalam sistem tenaga negara ini.
“Bagi ROSATOM, projek ini juga merupakan satu lagi langkah penting dalam pembangunan industri nuklear global serta pengukuhan hubungan persahabatan dengan rakan antarabangsa,” katanya.
Projek bernilai 1.14 trilion taka Bangladesh (RM37 bilion) itu dibiayai sebanyak 90 peratus menerusi pinjaman Rusia yang perlu dibayar semula dalam tempoh 28 tahun, manakala ROSATOM turut menyediakan sokongan teknikal.
Pakar percaya kejayaan projek tersebut bukan sahaja meningkatkan bekalan tenaga negara, malah mampu mengurangkan kebergantungan Bangladesh terhadap loji jana kuasa berasaskan gas serta import elektrik dari luar negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








