ASB umum dividen kekal 5.75 sen seunit
PETALING JAYA – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan 5.75 sen seunit bagi Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, melibatkan jumlah pembayaran keseluruhan sebanyak RM10.4 bilion kepada 11.4 juta pemegang unit.
Pengagihan itu mengekalkan kadar sama seperti tahun 2024 dan sekali lagi mencerminkan prestasi ASB yang mengatasi pasaran, dengan jurang daya saing berbanding penanda arasnya iaitu kadar Deposit Tetap 12 Bulan Maybank meningkat kepada 346 mata asas, berbanding purata kadar deposit tetap 2.29 peratus.
Prestasi tersebut dicapai dalam suasana pasaran ekuiti domestik yang mencabar, apabila FBM KLCI merekodkan pulangan harga -0.3 peratus setakat 2025, selain dipengaruhi aliran keluar dana asing dan sentimen pelabur yang lebih berhati-hati.
Bagaimanapun, ASNB memaklumkan asas ekonomi negara kekal positif dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 diunjurkan antara 4.0 hingga 4.8 peratus, disokong kemasukan pelaburan yang memberangsangkan serta pengukuhan nilai ringgit sebanyak 8.7 peratus kepada RM4.09 berbanding dolar Amerika Syarikat.
Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda, berkata pengagihan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan PNB dalam melindungi simpanan rakyat.
“Selama lebih 46 tahun, PNB diamanahkan untuk melindungi hasil titik peluh rakyat. Kami berbesar hati dapat mengekalkan pengagihan ASB pada kadar 5.75 sen seunit dengan jumlah pembayaran RM10.4 bilion, yang merupakan tertinggi sejak penubuhan ASB.
“Setakat ini, jumlah kumulatif pengagihan pendapatan ASB telah mencecah RM206.7 bilion, sekali gus menggambarkan ketahanan dan kekuatan portfolio pelaburan ASB,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, PNB turut memberi perhatian terhadap cabaran kekurangan simpanan dalam kalangan rakyat Malaysia dan akan terus mempergiat usaha literasi kewangan bagi membudayakan tabiat menabung yang lebih mampan merentas generasi.
Sementara itu, ASNB merekodkan jumlah pengagihan dividen keseluruhan sebanyak RM15.3 bilion bagi tahun 2025, tertinggi pernah dicapai, menjadikan jumlah pengagihan terkumpul sejak penubuhan mencecah RM279 bilion meliputi kesemua 18 dana unit amanah di bawah pengurusan ASNB.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad, berkata pencapaian memberangsangkan itu selari dengan pelaksanaan tahun kedua Pelan Strategik LEAP-6 PNB.
“Kami berjaya mencatat peningkatan aliran masuk bersih pelanggan, menyampaikan pengagihan pendapatan yang mampan serta memperkukuh modal proprietari PNB, sekali gus meningkatkan Aset Di Bawah Pengurusan (AUM) sebanyak 4.5 peratus kepada RM364 bilion,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








