Artis muda neurodivergent, Darra Dahlia terokai seni naif bersama kucing kesayangan
Oleh: MALIAH SURIP
BANYAK yang istimewa tentang seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun bernama Darra Dalia Mohd Nor Azim, terutama apabila berbicara tentang kemampuan dan kemahiran yang dimiliki pada usia yang masih terbilang hijau.
Darra, si comel pemalu ini, memiliki bakat yang cukup besar dan luar biasa. Di sebalik kekangan komunikasi bukan verbal dan bersosial kerana autisme, Darra bersuara melalui seni.
Sebagai kanak-kanak autistik, kanvas menjadi wadah buat artis muda neurodivergent ini berkomunikasi dengan dunia, sekali gus menjadi medium terapi dan ekspresi diri.
Maka, artis kecil ini meneroka dunia seni melalui penelitian dan ‘keintiman’ bersama haiwan peliharaan kesayangannya, kucing. Melalui karya yang berkait rapat dengan pengalaman peribadi, hasil seni Darra mengandungi elemen ketenangan, keselamatan dan kestabilan emosi.
Kemahiran itu tidak dipersiakan apabila ibu bapa Darra mengasah bakatnya dengan mengikuti kelas seni bersama Jaja Yusof, salah seorang anak kepada pelukis hebat negara, Allahyarham Mohd Yusof Ismail yang lebih dikenali sebagai Yusof Gajah.
“Pada peringkat awal, karya Darra banyak dipengaruhi oleh gaya naif dan intuitif. Seiring perkembangan masa, keyakinan dan keupayaan visualnya semakin matang, membolehkannya melukis secara terus di atas kanvas tanpa lakaran awal.
“Daripada subjek haiwan, khususnya kucing, karya Darra kini berkembang ke arah komposisi floral yang lebih terbuka dan ekspresif,” ujar ibu Darra, Nolin Teh.


Jelas Nolin lagi, beliau mula melatih Darra melukis secara serius pada fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sewaktu pandemik Covid-19 melanda dunia pada tahun 2020.
“Apabila melihat kecenderungannya melukis dengan baik, terutama dalam seni naif dengan kucing peliharaan kami sebagai subjek, saya menghantar Darra mengikuti kelas seni di bawah bimbingan Jaja Yusof.
“Mereka mempunyai kecenderungan menzahirkan seni yang sama, iaitu seni naif melalui kucing,” ujar Nolin mengenai pembabitan awal anaknya secara serius sebagai pelukis muda.
Seni, menurut Nolin lagi, menjadi ruang ekspresi buat anak neurodivergent itu selepas Darra didiagnosis dengan autisme seawal usia tiga tahun.
“Sewaktu kecil, Darra didiagnosis dengan autisme ringan, jadi dia istimewa. Memang tidak banyak bercakap dan bersosial. Pada usia sekitar dua dan tiga tahun, dia banyak menghabiskan masa melukis di atas kertas. Oleh itu, apabila semakin meningkat usia, saya mahu dia serius dengan seni.
“Saya mahu dia memiliki kemahiran tersendiri. Dan kenapa kucing? Kerana setiap kali kami tanya Darra suka melukis apa, dia akan menjawab kucing. Maka kami biarkan dia melahirkan suara dan ekspresi dalam pemikiran serta perasaan yang tidak terungkap menerusi seni naif,” tambah Nolin lagi.
Namun kini, kata Nolin, Darra mula melukis haiwan selain kucing. “Dia mula suka melukis arnab,” katanya ringkas.
Lebih membanggakan, karya-karya ‘manis’ dan hidup dalam calitan warna akrilik yang beragam milik Darra telah banyak terjual sejak dia aktif menyertai pameran seni yang dianjurkan di sekitar ibu kota.

Tercatat dalam Malaysia Book of Records
Nama Darra juga tercatat dalam Malaysia Book of Records menerusi penyertaan Largest Mini Artwork Exhibition anjuran FPC Foundation pada tahun ini.
Sudah tentu, karya seni yang terjual dalam pameran bersama rakan autistik atau neurodivergent yang lain berkisar tentang Darra dan kucing kesayangan.
“Tetapi seiring usia bertambah, Darra juga mula mengembara melukis flora. Jadi ada beberapa siri flora Darra turut menjadi perhatian. Dan biasanya, jika menyertai pameran, lukisan Darra paling awal laris. Perkara ini membuatkan kami yakin dengan kemahiran dia,” cerita Nolin.
Selain aktif menyertai pameran dan menjual karya-karyanya, kebanyakan hasil seni Darra turut dipamerkan di platform media sosial Instagram @senidarra.
Menurut Nolin, penggunaan platform @senidarra dibina bukan sekadar untuk promosi, tetapi juga sebagai arkib proses seni Darra sejak kecil sehingga kini.
“Saya percaya kepada penggunaan teknologi seperti platform media sosial Instagram untuk mempromosikan dan menjual karya Darra.
“Jika Darra tidak menyertai pameran, semua proses seni dia saya arkibkan di @senidarra dan dia kini memiliki pengikut serta pembeli tersendiri menerusi platform ini,” kata Nolin yang juga ibu kepada seorang anak lelaki, Ian Idris, yang turut handal melukis.
Bercakap mengenai harapan terhadap Darra, Nolin memiliki visi yang sangat jelas. Wanita ini mengaku tidak mahu kepakaran yang ada pada Darra diselubungi oleh ihsan pembeli hanya kerana Darra seorang anak autistik.
Sebaliknya, Nolin mengelak daripada memberi ruang kepada skeptisisme segelintir masyarakat terhadap anak-anak neurodivergent. Beliau mahu mereka diiktiraf berdasarkan bakat seni yang dimiliki.
“Saya hanya mahu Darra memiliki kemahiran dan menikmati perjalanan seni dia, dan pembeli membeli bukan hanya karya Darra tetapi juga rakan-rakannya yang lain kerana bakat luar biasa mereka,” kata Nolin yang juga menjual karya sedia ada Darra serta menerima tempahan.

Mahasiswa UKM Menyokong Seni Darra
Dalam usaha memperluas sokongan terhadap perjalanan seni Darra, sekumpulan mahasiswa Sarjana Program Pengurusan Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tampil membantu mengetengahkan bakat Darra sebagai artis muda neurodivergent.
Inisiatif ini bukan sahaja memupuk kesedaran masyarakat terhadap kemampuan dan kebolehan artis neurodivergent, malah membantu Darra menjana pendapatan melalui jualan karya lukisannya. Ia bukan semata-mata soal kewangan, tetapi sebagai tanda sokongan dan pengiktirafan terhadap bakat serta suara Darra yang dizahirkan melalui seni.
Kumpulan mahasiswa berkenaan turut membantu menjenamakan semula akaun Instagram Darra dengan susun atur baharu yang lebih kemas dan ceria, sekali gus menjadikannya lebih menarik dan mudah difahami pengguna.

| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













