Anwar, Modi bincang kukuhkan hubungan dua hala Malaysia-India
KUALA LUMPUR – Malaysia dan India sepakat memperkukuh hubungan dua hala ke arah yang lebih strategik serta menyeluruh, meliputi aspek perdagangan, pelaburan, teknologi, pendidikan dan keselamatan serantau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dibincangkan menerusi panggilan telefon bersama Perdana Menteri India, Narendra Modi semalam.
Menurut beliau, India kekal sebagai rakan penting Malaysia dalam pelbagai sektor termasuk perdagangan dan pelaburan selain turut menjadi rakan strategik dalam bidang teknologi dan pendidikan.
“Kami turut berbincang mengenai penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur hujung bulan ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Modi akan menghadiri sidang kemuncak itu secara dalam talian memandangkan sambutan Perayaan Deepavali masih berlangsung di India pada tarikh berkenaan.
“Saya menghormati keputusan beliau dan menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Deepavali kepada Modi serta seluruh rakyat India.
“Malaysia akan terus komited memperkukuh hubungan Malaysia-India selain mempererat kerjasama ASEAN-India ke arah mewujudkan rantau yang lebih aman dan makmur,” katanya lagi.
Hubungan diplomatik Malaysia-India yang terjalin sejak 1957 terus berkembang pesat terutama dalam perdagangan dua hala yang mencatat nilai lebih RM60 bilion pada tahun lalu.
Kedua-dua negara juga giat memperluas kerjasama dalam bidang tenaga hijau, pembangunan digital dan pertukaran pendidikan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








