BERITA SEMASA

Anggota komando meninggal dunia ketika latihan di Kuantan, selamat dikebumi di Semporna

KUALA LUMPUR – Seorang anggota elit Tentera Darat Malaysia (TDM), Koperal Mohd Haswansir Julnasir, 30, disahkan meninggal dunia ketika menjalani latihan selaman menggunakan peralatan Closed Circuit Breathing Apparatus (CCBA) dalam Latihan Seaghost Siri 1/2025 di perairan Dock Port, Kuantan.

TDM dalam satu kenyataan media hari ini berkata, Allahyarham Mohd Haswansir yang berkhidmat di Rejimen 22 Komando di bawah Grup Gerak Khas (GGK), dilaporkan hilang pada 3 Julai lalu sekitar jam 12.15 tengah hari semasa melaksanakan latihan tersebut.

“Allahyarham merupakan seorang anggota yang sangat terlatih dalam kepakaran serangan amfibi dan operasi penyusupan maritim, di mana latihan seumpama ini merupakan sebahagian daripada keperluan untuk mengekalkan kemahiran peringkat tinggi.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan serta-merta dan hasil kerjasama pelbagai agensi, pasukan rondaan permukaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya menemui mayat Allahyarham pada 5 Julai pukul 10 pagi, kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian. Peralatan CCBA dan senjata M4 turut ditemui lengkap bersama jenazah,” kata kenyataan tersebut.

Tambah kenyataan itu, jenazah Allahyarham dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk bedah siasat sebelum diterbangkan pulang ke kampung halamannya di Semporna, Sabah menggunakan pesawat C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) malam tadi.

“Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Gusung Melanta Tesi, Pulau Bum Bum pada pukul 2.30 pagi tadi.

“TDM akan menubuhkan satu Lembaga Siasatan untuk menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar insiden serta menyeru semua pihak agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi dan menghormati privasi keluarga Allahyarham dalam menghadapi waktu yang sukar ini,” kata kenyataan itu lagi.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Muhammad Hafizuddeain Jantan turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan menyatakan rasa dukacita atas kehilangan warga TDM yang komited dan sangat terlatih.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button