Jenazah Koperal Norazmi dikebumi selepas selesai proses bedah siasat
ALOR SETAR – Jenazah dua anggota tentera yang maut ketika latihan di lapang sasar Kem Hobart, Gurun dekat sini pagi tadi, menjalani proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), malam ini.
Jenazah Koperal Norazmi Abu Bakar, 40, dan Prebet Siti Khadijah Sungip, 24, tiba di Jabatan Forensik HSB dari Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, petang tadi, lapor Kosmo.
Menurut sepupu Allahyarham Norazmi, Sulaiman Mat Saad, 40, jenazah Norazmi akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Busyra, Merbok dekat Sungai Petani.
“Saya dimaklumkan proses bedah siasat bermula pada pukul 9 malam tadi dan jenazah akan terus dibawa pulang ke kampung halamannya di Merbok untuk dikebumikan sebaik proses bedah siasat selesai,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HSB, di sini malam tadi.
Sementara itu, ahli keluarga Norazmi termasuk isterinya, Siti Fairus Mohamad Yussof, 38, dan dua anaknya serta ibu, Fatimah Ismail, 78, kelihatan di pekarangan Jabatan Forensik HSB.
Jenazah seorang lagi anggota tentera, Siti Khadijah pula dijangka dibawa pulang ke Johor untuk dikebumikan di sana.
Laporan media sebelum ni menyebut, dua anggota tentera maut akibat letupan grenad ketika sedang menjalani Latihan Membaling Grenad dalam Latihan Peningkatan Tempur Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Divisyen Kedua Infantri Malaysia.
Norazmi adalah daripada Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), manakala Siti Khadijah daripada Skuadron Pertama RAJD.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








